Mustafa Hamid dan Zarina Ahmad akan memastikan segala keperluan anak sulung mereka, Mohamad Zulkarnain, dapat diuruskan dengan baik. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Mustafa Hamid dan Zarina Ahmad akan memastikan segala keperluan anak sulung mereka, Mohamad Zulkarnain, dapat diuruskan dengan baik. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: "Terima kasih yang sudi berkongsi rezeki dan memberi semangat kepada saya, hanya Allah SWT saja yang dapat membalasnya," kata mekanik orang kurang upaya (OKU), Mohamad Zulkarnain Mustafa.

Mohamad Zulkarnain yang lumpuh separuh badan dari paras pinggang turut bersyukur kisahnya yang membaiki motosikal dengan hanya berbaring mendapat perhatian ramai selepas ia disiarkan Harian Metro, semalam.

Bagaimanapun katanya, dia berkongsi kisah hidupnya itu bukan untuk menagih simpati orang ramai, sebaliknya hanya mahu berkongsi semangat terutama kepada golongan senasibnya.

"Alhamdulillah, saya menerima beberapa panggilan telefon daripada orang ramai yang mahu berkongsi sedikit rezeki dan memberi kata semangat.

"Saya terharu dengan penerimaan orang ramai apabila membaca komen. Saya bukan mahu menangih simpati tetapi sekadar berkongsi cerita saja dan mungkin ada yang boleh diambil daripada sudut positif," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sumbangan yang diterima akan digunakan sebaiknya termasuk membeli alat ganti tambahan, jika perlu.

"Saya juga masih berusaha menyimpan wang untuk merealisasikan impian membuka bengkel yang lebih sempurna di tepi rumah," katanya.

Semalam, akhbar ini menyiarkan kecekalan pemuda berusia 27 tahun itu atas kegigihannya membaiki jentera dua roda itu dengan hanya berbaring di atas katil selepas fizikalnya sudah tidak sempurna seperti lapan tahun lalu akibat terbabit kemalangan.

Mohamad Zulkarnain membaiki motosikal di hadapan rumah keluarganya di Parit 2/6R Labu Kubung, Chenderong Balai, di sini, dengan dibantu adik bongsunya, Mohamad Hazarul Nizam, 13.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 9:50 AM