Lizam Ridzuan dan Nurul Husna Mahmud


Sekinchan: "Kalau motosikal kapcai, ia umpama membaiki basikal saja. Jika Harley Davidson, kami ambil masa sedikit.

"Sejak berkecimpung dalam bidang ini, kami sudah baiki ratusan motosikal termasuk jentera berkuasa tinggi," kata mekanik, Noor Zahidah Mohamad Arif.

Noor Zahidah, 22, dan empat adik-beradik perempuannya mahir membaiki motosikal, khasnya jentera berkuasa tinggi, di bengkel membaiki motosikal bapa mereka, Arif Garaj di sini.

Menurutnya, antara motosikal berkuasa tinggi sudah dibaiki ialah Honda CBX 750 dan ST13000, Kawasaki, Yamaha dan Harley Davidson.

Noor Zahidah turut dibantu kakak sulung, Noor Atikah, 27, Noor Mahirah, 25, dan adik, Nur Rabiatul Adawiyah, 20, serta Noor Hanisah Bazlaa, 18.

Lima beradik perempuan ini mendapat tunjuk ajar daripada bapa mereka, Mohamad Arif Md Toha, 49, dalam bidang baik pulih motosikal.

"Motosikal kapcai mudah untuk dibaiki berbanding jentera berkuasa tinggi yang perlu lebih banyak ketelitian.

"Kami juga pentingkan kualiti, malah ramai pelanggan yang berulang untuk selenggara atau membaiki motosikal mereka," katanya ditemui di bengkel berkenaan.

Menurutnya, cabaran utama mereka bukan berkaitan isu teknikal enjin sebaliknya berat enjin sesebuah motosikal itu sendiri.

"Ini kerana lebih besar motosikal maka lebih berat enjinnya. Ada kalanya kami berganding bahu bagi mengeluarkan enjin motosikal berkuasa tinggi kerana faktor berkenaan," katanya.

Bagi Noor Atikah pula, mereka lima beradik tidak akan berjaya seperti sekarang jika tidak dipaksa bapa untuk membantu membaiki motosikal.

"Saya sendiri mula membantu bapa di bengkel motosikal ini sepenuh masa ketika berusia 17 tahun iaitu pada 2011 sebelum menyambung pengajian.

"Banyak motosikal dihantar ke bengkel ini dan bapa tidak mampu membaikinya berseorangan," katanya yang juga pemegang Sijil Kemahiran Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (Ciast).

Kini, walaupun baru berumahtangga pada Februari lalu, Noor Atikah tetap akan membantu bapanya pada hujung minggu atau cuti umum.

Bagi Noor Mahirah (anak kedua) pula, selain membantu bapa, perkara penting lain ialah dapat berkumpul bersama kakak serta adiknya di bengkel berkenaan.

"Saya pernah menangis kerana dimarahi bapa selepas tersilap memasang komponen enjin motosikal.

"Namun, sekarang, saya lebih cekap melakukan tugasan ini," katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Nur Rabiatul (anak ke-4) masih menuntut di tingkatan enam di Sekolah Tinggi Klang namun saat paling ditunggu ialah membantu kakaknya di bengkel berkenaan.

"Pada mulanya, saya membantu kerana mahu berseronok namun lama-kelamaan, ia menjadi satu kemestian untuk berada di bengkel. Ia umpama aktiviti keluarga.

"Saya meminati bidang logistik dan perkapalan namun tidak berniat untuk menyambung pengajian dalam bidang automotif. Cuma kemahiran dan ilmu yang diperoleh sebagai mekanik motosikal adalah satu bonus untuk saya," katanya.

Sementara itu, Noor Hanisah yang juga anak kelima cukup gembira kerana berjaya membaiki enjin motosikal berkuasa tinggi diamanahkan kepadanya.

"Saya bercita-cita mahu menjadi guru matematik namun akan membantu bapa dan kakak mengembangkan perniagaan ini.

"Saya sukakan minyak dan enjin motosikal. Saya sudah biasa dengannya dan jika ada peluang untuk membuka cawangan lain, saya pasti akan membantu," katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Bukit Kuda, Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 1:00 PM
Mohamad Arif Md Toha (kiri) membantu anak-anaknya, membaik pulih enjin motosikal berkuasa tinggi di bengkel mereka di Arif Garaj, Kampung Sg Labu Sekinchan. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Mohamad Arif Md Toha (kiri) membantu anak-anaknya, membaik pulih enjin motosikal berkuasa tinggi di bengkel mereka di Arif Garaj, Kampung Sg Labu Sekinchan. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM