DR Ahmad Yunus Hairi.
DR Ahmad Yunus Hairi.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Seorang wakil rakyat pembangkang membangkitkan persoalan sejauh mana rakyat di negara ini memahami cubaan membunuh diri adalah salah satu kesalahan jenayah.

Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, disebabkan perkara itu menyebabkan negara ini gagal untuk menurunkan kadar bunuh diri.

"Sejauh mana sebenarnya rakyat dalam negara kita faham atau mendapat maklumat cubaan bunuh diri ini salah satu kesalahan jenayah.

"Saya kira sebahagian besar daripada masyarakat di luar sana tidak memahami undang-undang kita ada yang akhirnya kita gagal untuk menurunkan kadar bunuh diri dalam negara," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, berdasarkan laporan media dan pihak polis mendapati, kemurungan adalah satu faktor utama bagaimana cubaan bunuh diri ini berlaku dalam negara ini.

"Yang cukup mengkhuatirkan apabila kita melihat daripada pelaporan itu melihatkan kemurungan atau tingkah laku bunuh diri ini semakin meningkat dalam kalangan remaja kita berusia antara 13 hingga 17 tahun.

"Sudah tentu ia akan memberikan kesan kepada masa depan mereka," katanya.

Beliau berkata, sekiranya terbabit dalam percubaan bunuh diri dan mendapat hukuman, ia akan menyebabkan peluang bagi mendapatkan pendidikan dan pekerjaan memberikan kesan besar kepada mereka.

Katanya, bagi menghindari percubaan bunuh diri, ia bukanlah sekadar hukuman sebaliknya apa yang penting adalah penempatan bagi memberikan rawatan kepada mereka.

"Bagi orang Islam, mungkin pendekatan agama Islam itu sendiri sebagai rawatan untuk mereka pulih semula," katanya.

Selain itu beliau mencadangkan agar kerajaan menyediakan pusat untuk memulih atau merawat pihak yang terbabit dalam percubaan membunuh diri ini.

"(Contohnya) kalau kita ada masalah dadah kita ada pusat serenti. Tetapi kalau ini boleh adakan pusat pemulihan (mereka yang terbabit dalam cubaan bunuh diri), bermakna kita boleh membantu ramai masyarakat.

"Akhirnya matlamat mengurangkan tingkah laku bunuh diri dapat kita kurangkan," katanya.

Jika anda memerlukan bantuan berkaitan kesihatan mental, tolong hubungi:

Talian Kasih
Tel: 15999 (24 Jam), +60192615999 (WhatsApp)

Befrienders
https://www.befrienders.org.my/
Tel: +60376272929 / +60379568145 (24 Jam)

Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental
https://miasa.org.my/
Tel: +60379321409 / +60192362423

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 6:36 PM