Siti Aminah Mohd Yusof


Kepala Batas: Ibu kepada peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang Khamis lalu, menunggu dengan penuh harapan anaknya pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Che Tom Hassan, 64, berkata dia hanya mengetahui berita yang berlaku ke atas Muhammad Hawari itu kira-kira jam 11 pagi semalam menerusi media sosial.

"Berita gembira dia sudah berjaya tawan Everest kami sudah dapat tapi sekarang kami tunggu berita perkembangan macam mana keadaan dia di sana selepas dilaporkan hilang.

"Saya doa dia balik dengan selamat dan kami sudah buat bacaan Yasin," katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Kerai Besar di sini, hari ini.

Che Tom turut memohon rakyat Malaysia berdoa supaya anak ketiga daripada lima adik beradik itu ditemui dalam keadaan selamat dan urusan pencarian bapa kepada dua cahaya mata itu dipermudahkan.

"Terima kasih juga kepada semua pihak yang mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin untuk memohon keselamatan dan kesejahteraan anak saya," katanya.

Che Tom dengan sebak memberitahu dia tidak lena tidur memikirkan Muhammad Hawari dan bagaimana dia dapat bertahan dalam keadaan cuaca sejuk melampau di sana dan mungkin berdepan kehabisan bekalan makanan.

Katanya, kali terakhir anaknya yang dipanggil Wari itu menghubunginya ketika berada di kem dua dan berpesan supaya keluarga tidak risau tentang keadaan dirinya.

"Dia minta doakan keselamatannya dan pesan keluarga di kampung jangan susah hati atau fikir perkara bukan-bukan ketika dia berada di sana.

"Dia ada pakai jam yang ada GPS khas jadi kita boleh tahu kedudukan dia tapi sekarang jam itu mungkin tidak berfungsi," katanya.

Che Tom berkata Muhammad Hawari yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu adalah insan yang sentiasa bersemangat dan suka mencabar diri selain menyimpan impian menawan puncak gunung tertinggi dunia itu sejak kecil lagi.

"Sejak zaman sekolah lagi, dia memang aktif dan suka masuk pertandingan, sukan, melukis dan selalu menang. Impian dia juga sejak kecil nak tawan Everest dia nak jadi terkenal," katanya.

Che Tom berkata, isteri Muhammad Hawari bersama dua anaknya turut berada di rumahnya dan keluarga besannya turut datang dari Selangor untuk memberi sokongan kepada mereka di sini.

Muhammad Hawari, 33, dilaporkan hilang ketika berehat di kem empat selepas berjaya menakluk punca Everest petang Khamis lalu.

Berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT) semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 1:45 PM