BERNAMA

Rembau: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan membaik pulih asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abu Hassan Sail di sini yang terbakar pada 31 Julai tahun lalu.

Perdana Menteri berkata peruntukan sebelum ini yang diluluskan hampir RM3 juta dan dengan penambahan itu jumlah keseluruhan yang diluluskan adalah RM3.89 juta.

"Kelulusan peruntukan sebelum ini hampir RM3 juta namun melihat keadaan asrama, bumbungnya dan surau pastinya (peruntukan) tidak mencukupi. Kementerian Kewangan akan beri kelulusan khas agar kerja baik pulih dapat dipercepatkan

"Kita lihat sekolah ini tidak daif tetapi dari segi prasarana tentunya sederhana, asrama itu (sedia ada) alami kesesakan, namun mereka (pelajar) masih mampu memberikan komitmen dan dedikasi untuk belajar," kata beliau semasa berucap selepas melawat sekolah itu hari ini.

Terdahulu Anwar turut meninjau keadaan pasca insiden kebakaran tingkat tiga asrama berkenaan.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan lain berjumlah RM310,000 untuk membaik pulih fasiliti seperti bilik guru dan surau sekolah berkenaan.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Muhamad Hasan dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

PM melawat SMKA Dato’ Haji Abu Hassan Sail hari ni dan turut meninjau keadaan asrama lelaki sekolah berkenaan yang terbakar 31 Julai tahun lalu. FOTO Bernama
PM melawat SMKA Dato’ Haji Abu Hassan Sail hari ni dan turut meninjau keadaan asrama lelaki sekolah berkenaan yang terbakar 31 Julai tahun lalu. FOTO Bernama

Sementara itu, Anwar turut berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Dr Hj Mohammad Eusuff Teh Kariah Pedas Hilir, di sini.

Beliau yang tiba pada 1.20 tengah hari kemudiannya bersama jemaah mendengar khutbah bertajuk 'Guru Mendidik Generasi Berakhlak' sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei lepas.

Sebelum pulang, Perdana Menteri turut meluangkan masa bersalam dan beramah mesra dengan jemaah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 2:44 PM