Zaid Salim

Kuala Terengganu: Berita gembira buat penarik beca di negeri ini apabila nasib mereka terus dibela pelbagai pihak dan agensi, sekali gus membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Golongan penarik beca antara komuniti terkesan pendapatan ekoran perkhidmatan menggunakan kekuatan tulang empat kerat itu kini kurang permintaan.

Selepas terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu, kini golongan rata-rata berusia lewat 60-an hingga 80 tahun itu berdepan dengan musim tengkujuh yang menyukarkan mereka keluar mengayuh bagi mencari rezeki.

Menyedari keadaan itu, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) tampil menghulurkan bantuan musim tengkujuh kepada penarik beca menerusi Program Sentuhan Monsun di Pesisir Payang, hari ini.

Presiden yang juga Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, pihaknya menyediakan peruntukan RM10,000 bagi melaksanakan program Khidmat Sosial Masyarakat (CSR) bersama penarik beca itu.

"Kami sedar golongan penarik beca sangat memerlukan bantuan memandangkan perkhidmatan mereka kurang mendapat permintaan.

"Rata-rata mereka adalah golongan warga emas dan ada yang sudah melewati usia 80 tahun dan perlu dibantu.

"Difahamkan, pendapatan mereka tidak menentu dan ada kalanya dalam satu hari langsung tiada penumpang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

BURHANUDDIN (kanan) dan Wan Sukairi (kiri) bersama penarik beca pada program Sentuhan Monsun bersama golongan penarik beca di Pesisir Payang. FOTO Zaid Salim
BURHANUDDIN (kanan) dan Wan Sukairi (kiri) bersama penarik beca pada program Sentuhan Monsun bersama golongan penarik beca di Pesisir Payang. FOTO Zaid Salim

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penarik Beca Kuala Terengganu, Abdullah Muhamad, 66, berkata, sumbangan itu sangat bermakna buat penarik beca bagi meneruskan hidup.

"Selepas kerajaan membenarkan rentas negeri, dapatlah kami bernafas selepas tiada pendapatan akibat PKP dan kini pula tiba musim tengkujuh.

"Walaupun kekurangan pelanggan, rezeki kami tidak pernah putus kerana banyak pihak tampil membantu dan kami berterima kasih kepada pelbagai pihak dan individu yang tidak putus memberi sumbangan sama ada wang tunai atau barangan keperluan harian," katanya yang tinggal menyewa rumah di Kampung Ladang, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:56 PM