Nor Fazlina Abdul Rahim


Tanah Merah: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memantau aktiviti pertanian yang dibimbangi terjejas susulan musim kemarau yang melanda negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azulita Salim berkata, setakat ini cuaca panas tidak memberi kesan yang ketara kepada aktiviti pertanian terutama sayur-sayuran.

"Ini kerana musim kemarau masih baru dan kebanyakan penanam sayur menggunakan kaedah teknologi tertentu termasuk fertigasi menyebabkan kesan keadaan cuaca masih boleh dibendung.

"Bagaimanapun dari aspek penanam padi pula, kita dapati ada antara mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air.

"Justeru, kita akan memantau keadaan ini dari semasa ke semasa selain mencari alternatif bagi menangani sebarang masalah sekiranya musim kemarau berpanjangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Stesen Minyak Petron di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azulita berkata, pihaknya juga sedang mengumpul data bagi mengenal pasti mereka yang terjejas akibat kemarau.

"Pada masa sama, kita juga membuat persediaan dengan mencari alternatif sumber air termasuk membina telaga tiub. Pada masa sama, penggunaan pam air juga sedang diteliti.

"Secara logiknya jika musim kemarau berpanjangan, hasil tanaman juga akan berkurangan dan kita akan berusaha sebaik mungkin bagi meminimakan kesan daripada musim kemarau.

"Sebagai contoh jika musim kemarau berpanjangan, jadual penanaman padi pun mungkin kita akan ubah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 3:53 PM
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Azulita Salim pada sidang media selepas merasmikan  Stesen Minyak Petron milik Pertubuhan Peladang Kawasan Chetok  di Tanah Merah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Azulita Salim pada sidang media selepas merasmikan Stesen Minyak Petron milik Pertubuhan Peladang Kawasan Chetok di Tanah Merah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR