TIMBUNAN sampah yang dibuang secara haram ketika tinjauan di Batu 14, Kapar baru-baru ini.
TIMBUNAN sampah yang dibuang secara haram ketika tinjauan di Batu 14, Kapar baru-baru ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan berlaku aktiviti pembuangan sampah hingga menyebabkan kebakaran di Kapar di Klang, Selangor.

Jabatan Komunikasi Korporat TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, isu itu sudah dikesan oleh TNB sejak Oktober 2020.

"Beberapa siri perbincangan dan penguatkuasaan berterusan sudah diambil seperti pemberian notis kepada pelaku, melaporkan kepada agensi kerajaan dan pihak berkaitan serta pemilik tanah, selain meletakkan hadangan di laluan masuk sebagai usaha berterusan mengatasi masalah itu.

"Tinjauan pada Rabu lalu mendapati sudah tiada aktiviti pencerobohan pembuangan sampah terbaru dalam kawasan rentis TNB.

"Namun aktiviti pembuangan sampah masih berlaku di luar kawasan rentis TNB hingga mengakibatkan kebakaran berlaku," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu sebagai mengulas dakwaan seorang lelaki warga emas yang mengalami masalah pernafasan dipercayai akibat aktiviti pembakaran di tapak pelupusan sampah haram berhampiran sebuah ladang ternakan ayam di Kapar.

Tapak itu terletak di bawah pilon kabel elektrik TNB serta tidak jauh dari sempadan Kapar-Kuala Selangor.

Sebelum ini dilaporkan, Mohamad Mishan Md Nor, 61, mendakwa mengalami masalah kesihatan sejak dua tahun lalu hanya mengetahui diracuni secara perlahan-lahan akibat pencemaran itu selepas kali ketujuh berjumpa doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Mengulas lanjut, TNB berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meningkatkan tindakan pengawasan.

Selain itu, katanya, TNB juga akan meningkatkan rondaan termasuk menggunakan teknologi dron serta memasang kamera untuk mengawal aktiviti pencerobohan.

"Sebarang aktiviti tanpa kebenaran di dalam kawasan rentis TNB adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 37(12)(a) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448) dan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 37(12)(b) akta sama.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

TNB turut menasihati orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti di dalam kawasan rentis TNB tanpa kebenaran bertulis dan perlu mematuhi syarat ditetapkan.

Aktiviti pencerobohan seperti pembuangan sampah adalah tidak dibenarkan kerana boleh menyebabkan risiko kemalangan jiwa, kerosakan pepasangan TNB dan gangguan bekalan sistem Grid Nasional.

Sebarang pertanyaan atau aduan boleh menghubungi TNB CareLine di talian 15454.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 2:19 PM