Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati pemaju projek untuk tidak melakukan kerja terlalu hampir dengan kawasan izin lalu rentis (right-of-way) talian penghantaran voltan tingginya bagi mengelak kejadian percikan arka (arcing) yang boleh menggugat kestabilan sistem Grid Nasional.

Kerja dalam kawasan rentis TNB pula dilarang kerana risiko percikan arka dan renjatan elektrik, serta gangguan bekalan kepada sistem Grid Nasional adalah lebih tinggi.

Kawasan rentis menara talian penghantaran adalah dalam jarak antara 20 hingga 30 meter di sebelah kiri dan kanan menara talian.

Ketua Pegawai Grid TNB Datuk Ir Husaini Husin berkata, pihaknya mengingatkan tiada kerja boleh dilakukan dalam kawasan izin lalu tanpa kebenaran TNB.

"Janganlah menceroboh kawasan rentis TNB. Dapatkan atau maklumkan kami jika perlu menjalankan kerja di dalam kawasan rentis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak yang menerima kebenaran TNB untuk bekerja dalam kawasan rentis pula perlu berhati-hati bagi mengelak percikan arka dan sistem bekalan elektrik terpelantik, sekali gus ketiadaan bekalan pada kawasan yang luas.

"Ribuan pengguna akan terkesan. Percikan arka yang berlaku bukan sahaja boleh menyebabkan kehilangan harta, malah nyawa pelaku," katanya.

TANGKAP layar rakaman CCTV kejadian percikan api di tapak pembangunan di Subang. FOTO Ihsan TNB.
TANGKAP layar rakaman CCTV kejadian percikan api di tapak pembangunan di Subang. FOTO Ihsan TNB.

Beliau turut memaklumkan pihaknya mengesan tiga kejadian percikan arka menara penghantaran TNB di Seberang Perai, Pulau Pinang; Klang, Selangor dan Subang Jaya, Selangor yang berlaku baru-baru ini yang menyebabkan sistem bekalan elektrik terpelantik.

"Dalam kejadian yang berlaku, operator kren terbabit mengalami renjatan elektrik yang mengakibatkan kecederaan serius dengan lecur tahap satu.

"Kita kesal kerana pihak pemaju projek yang sama gagal mematuhi nasihat TNB walaupun notis dan amaran sudah dikeluarkan kepada pemaju berkenaan.

Katanya, menurut peruntukan undang-undang, sebarang perbuatan yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada mana-mana pepasangan adalah satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 11:12 AM