Redzuan Muharam


Kota Kinabalu: "Bagi orang lain, rumah itu kecil dan sempit namun ia syurga buat saya," kata Nurul Hamizah Yasmin Alladin, 25.

Kisahnya Nurul Hamizah Yasmin mendapat perhatian selepas memuat naik video pendek menceritakan secara ringkas perjalanan kehidupannya yang dulu tinggal di rumah kayu kecil tetapi kini lebih besar.

Menerusi video itu, Nurul Hamizah Yasmin menceritakan pengorbanan suaminya, Jefflin Mandari, 25, yang berusaha keras untuk menyediakan tempat berteduh buatnya dan anak mereka, Muhammad Danel Raykal, 4.

Perkongsian video itu menunjukkan pengorbanan Jefflin dan kesetiaan Nurul Hamizah Yasmin yang teguh di belakang suami dalam waktu susah dan senang.

Nurul Hamizah Yasmin dari Kampung Rampayan Menggatal, di sini berkata, video itu didedikasikan buat suaminya yang banyak berkorban sejak mereka mendirikan rumah tangga lima tahun lalu.

Menurutnya, kehidupan mereka agak susah pada awal perkahwinan namun dia dan suami cuba berdamai dengan takdir serta menerima ujian dengan lapang dada.

"Masa mula-mula kahwin, kami hanya ada duit RM200 saja dalam tangan kerana wang lain sudah dihabiskan untuk perbelanjaan kahwin.

"Nak menyewa tak mampu dan mujurlah ada rumah pusaka bapa yang kosong untuk kami diami bersama.

"Berbekalkan duit RM200 itu, kami gunakan untuk beli tong gas bagi memasak. Suami ketika itu bekerja sebagai pembantu di stesen minyak manakala saya ambil upah kerja di kedai runcit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

RUMAH pusaka bapa Nurul Hamizah Yasmin selepas diubahsuai. FOTO ihsan Nurul Hamizah Yasmin Alladin
RUMAH pusaka bapa Nurul Hamizah Yasmin selepas diubahsuai. FOTO ihsan Nurul Hamizah Yasmin Alladin

Menyedari pendapatan tidak seberapa, Nurul Hamizah Yasmin berkata, suaminya mengambil inisiatif melakukan dua kerja iaitu di stesen minyak pada waktu pagi dan penghantar makanan sebelah petang.

"Sebelum ini, atap rumah kami bocor dan setiap kali hujan, air akan masuk.

"Meskipun begitu, kami belum pernah ikat perut cuma ada satu ketika dulu, kami makan mi segera dan telur dikongsi bertiga dengan anak.

"Keluarga, jiran dan rakan ada yang membantu cuma suami jenis tak suka meminjam dengan orang lain atau meminta-minta.

"Jadi dia usaha cari duit lebih kerana kasihankan saya serta anak selain selalu ingatkan kami ramai di luar sana lebih susah," katanya.

Dia berkata, ditakdirkan kerajaan membenarkan pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Jadi kami buat pengeluaran  wang simpanan bersama dan gunakannya untuk besarkan rumah," katanya.

Nurul Hamizah Yasmin berkata, kehidupan mereka masih sederhana cuma lebih baik dan selesa berbanding dulu.

Katanya, suaminya juga kini fokus dengan satu pekerjaan saja iaitu sebagai penghantar makanan tetapi masih kerja keras untuk menyara mereka sekeluarga.

"Saya masih ingat lagi ada yang bertanya tak malu ke tinggal di rumah kecil itu dulu yang kami gelarkan sebagai rumah pipit.

"Jujurnya, saya okay saja asalkan kami sekeluarga ada tempat untuk berteduh.

"Saya anggap kata-kata orang itu sebagai gurauan dan langsung tak ambil hati kerana sejak awal lagi, saya tahu suami bagaimana.

"Suami sering cakap dulu dia bukan orang senang namun saya tetap menerimanya dan anggap dia lelaki kiriman Tuhan.

"Bagi saya, apa yang penting adalah kesungguhannya kerana harta boleh dicari bersama," katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Nurul Hamizah Yasmin tidak menyangka video dimuat naik itu akan meraih tontonan tinggi hingga meruntun hati ramai netizen.

"Saya sekadar kongsi gambar yang dicantumkan menjadi video dan terharu kerana ramai mendoakan kami.

"Terima kasih saya ucapkan dan diharap video itu beri inspirasi kepada pasangan muda di luar sana untuk melalui ujian rumah tangga dengan sabar," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 5:52 PM
NURUL Hamizah Yasmin bersama suami, Jefflin dan anak mereka, Muhammad Danel Raykal di hadapan rumah lama sebelum diubahsuai. FOTO ihsan Nurul Hamizah Yasmin Alladin
NURUL Hamizah Yasmin bersama suami, Jefflin dan anak mereka, Muhammad Danel Raykal di hadapan rumah lama sebelum diubahsuai. FOTO ihsan Nurul Hamizah Yasmin Alladin