Datin Seri Rosmah Mansor
Datin Seri Rosmah Mansor
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali


Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Datin Seri Rosmah Mansor bagi kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Che Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun sebulat suara menolak rayuan Rosmah selepas mendapati ia tidak mempunyai merit.

Sehubungan itu, panel terbabit memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu membayar kos sebanyak RM10,000 melalui prosiding yang dijalankan secara Zoom hari ini.

Rosmah merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Ogos 2022 yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman selepas membenarkan bantahan awal pendakwaan yang bertindak sebagai responden dalam rayuan ini.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan dan tiada alasan wajar bagi mahkamah memberikan lanjutan masa.

Melalui penghakiman yang dibacakan Mee Chun, panel itu bersetuju permohonan Rosmah untuk kebenaran di Mahkamah Tinggi dibuat di luar tempoh masa kerana ia sepatutnya difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh fiat (surat kebenaran rasmi pelantikan Sri Ram) pertama kali dilihat.

Hakim itu berkata, Rosmah sebagai perayu sepatutnya memfailkan permohonan dalam tempoh masa di mana beliau sepatutnya menyedari bahawa fiat itu adalah tidak sah, yang sekaligus menjadikan perlatikan Sri Ram tidak teratur dan cacat serta perbicaraan kes solar dihadapinya turut terbatal dan tidak sah.

Katanya, jika ia difailkan dalam tempoh masa, maka permohonan itu sudah tentu mempunyai alasan yang wajar pada ketika itu.

Ketika hujahan rayuan berkenaan pada 18 Mei lalu, mahkamah memutuskan kematian Sri Ram pada pada 29 Januari lalu, tidak akan menjejaskan rayuan dan ia tidak bersifat akademik selepas mendapati perkara terbabit mengandungi isu langsung mengenai fiat yang didakwa Rosmah sebagai tidak sah, tidak teratur dan cacat.

Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram tetapi ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuahnya dan rayuannya turut ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada 1 September tahun lalu, Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Rosmah kemudian memfailkan rayuan berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya dan kini bebas dengan jaminan RM2 juta sementara menunggu pendengaran kesnya yang ditetapkan dari 11 hingga 14 Julai ini.

Dalam prosiding hari ini, Rosmah diwakili peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin bertindak bagi pihak responden.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 1:31 PM