Mohamad Azwan dan adiknya, Nur Asyikin menjadikan pondok kecil serta usang sebagai tempat untuk mereka berteduh daripada hujan dan panas sejak lebih lima tahun lalu di Kampung Slow Pok Long, Dabong. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Mohamad Azwan dan adiknya, Nur Asyikin menjadikan pondok kecil serta usang sebagai tempat untuk mereka berteduh daripada hujan dan panas sejak lebih lima tahun lalu di Kampung Slow Pok Long, Dabong. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Alhamdulillah, hidup kami dua beradik berubah selepas ada individu yang sudi mencari rumah sewa serta membayarnya," kata Mohamad Azwan Abdullah, 16.

Mohamad Azwan berkata, dia tidak menyangka selepas kisah kedaifan hidup bersama adiknya, Nur Asyikin Hadi, 15, mendapat perhatian daripada pelbagai pihak selepas disiarkan akhbar ini.

Katanya, ada individu yang menghubunginya dan menyatakan kesudian untuk mendapatkan rumah sewa yang lebih selesa selepas melihat keadaan dua beradik itu tinggal dalam pondok usang serba kekurangan.

"Malah ada juga individu yang sanggup datang ke rumah dan bertanya khabar selain menghulurkan wang bagi meringankan beban.

"Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang prihatin terhadap kesusahan hidup kami dan hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, dalam masa sama, dia juga sedang bersedia untuk memulakan sesi persekolahan pada bila-bila masa di sebuah sekolah menengah di daerah Kuala Krai atas bantuan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

"Justeru, saya berharap pendidikan dapat mengubah hidup kami dua beradik," katanya.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan dua beradik yatim piatu dari Kampung Slow Pok Long, Dabong menjadikan pondok kecil serta usang sebagai tempat untuk berteduh sejak lebih lima tahun lalu.

Dua beradik itu terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dan kini hanya menumpang kasih datuk serta nenek yang sudah tua.

Bapa tiri Azwan, Hadi Roni meninggal dunia pada 2014 selepas terbabit dalam kemalangan sebelum disusuli ibunya, Rusni Yusof, pula meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang.

Akibat kesempitan hidup, adik mereka Mohd Aliff, 12, kini dijaga oleh keluarga sebelah arwah bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 1:46 PM