SAARANI hadir pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 4 di daerah Larut, Matang dan Selama di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini semalam. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
SAARANI hadir pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 4 di daerah Larut, Matang dan Selama di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini semalam. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Kerajaan Perak menafikan isu kelewatan pelantikan ketua kampung di seluruh negeri ini yang masih belum selesai sejak Disember tahun lalu berpunca daripada pembahagian parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata syarat yang diletakkan di peringkat kementerian bagi pelantikan ketua kampung juga menyumbang kepada kelewatan proses dengan seseorang itu disyaratkan mestilah bermastautin di kampung berkenaan.

"Oleh kerana pelantikan ketua kampung yang sebelum ini kita hanya 'tangkap muat' saja maka timbullah masalah seperti ketua kampung tidak mematuhi karakter, melepasi had umur, bahkan ada yang mempunyai rekod jenayah.

"Jadi kali ini kita 'screen' (imbas), pertama orang itu betul-betul layak dan mematuhi syarat yang digariskan oleh kementerian," katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 4 di daerah Larut, Matang dan Selama di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini, semalam.

Saarani berkata, pelantikan ketua kampung tradisi bagi fasa pertama membabitkan kampung di bawah 33 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) kerajaan, ia akan selesai sebelum 22 Mei ini iaitu sebelum persidangan Dun bermula.

Menurutnya, manakala bagi fasa seterusnya membabitkan kampung di kesemua 26 kawasan Dun pembangkang, pemilihan ketua kampung perlu dibuat dengan teliti memandangkan ketua kampung mesti daripada parti kerajaan.

"Perak mempunyai sebanyak 829 kampung tradisi Melayu, 158 adalah Kampung Baharu Cina dan tujuh Kampung India dengan pelantikan ketua kampung Cina dan India," katanya.

Saarani dalam pada itu mengakui wujud sedikit masalah dalam perlantikan ketua kampung sebelum ini yang membabitkan tiga parti kerajaan iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS apabila ada parti kerajaan yang tidak mempunyai wakil di sesuatu kampung.

"Apabila tiga parti ini sebagai kerajaan, kita hendak bagi supaya semua parti akan merasa jadi ketua kampung. Namun pada waktu itu ada masalah apabila parti Bersatu tiada (wakil) di semua kampung.

"Jadi dia (Bersatu) ambil orang kampung A jadi ketua kampung B namun orang kampung B pula tak setuju. Jadi dengan pengajaran itu kita buat pemilihan ketua kampung bagi tahun ini secara berhati-hati.

"Jadi, bukan ada masalah sangat, cuma saya minta supaya kita buat secara berfasa dan berhemah supaya ketua kampung dan 'kabinet' kampung itu dapat berfungsi seperti yang sepatutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 8:20 AM