GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Kerajaan negeri membenarkan murid sekolah agama di negeri ini memakai pakaian sukan atau pakaian bersesuaian ke sekolah sepanjang tempoh cuaca panas ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, satu surat pekeliling juga sudah dikeluarkan baru-baru ini, sebagai tanda menyahut saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung operasi persekolahan ketika cuaca panas.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil tindakan sama seperti yang dilaksanakan KPM demi kesejahteraan dan keselesaan murid-murid sama ada di dalam kawasan sekolah atau bilik darjah.

"Sudah ada pekeliling yang dikeluarkan tentang kebenaran anak murid Sekolah Agama di Johor untuk berpakaian sukan ke sekolah.

"Kita benarkan seperti mana KPM dan kita kuat kuasa sebaik sahaja KPM mengeluarkan arahan.

"Pakai sebarang pakaian sukan atau apa pun yang kemas dan menutup aurat," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Arena Larkin di sini, hari ini.

MOHD Fared. FOTO Izz Laily Hussein
MOHD Fared. FOTO Izz Laily Hussein

Hadir pada majlis itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Pada 2 Mei lalu, KPM membenarkan murid, guru dan anggota pelaksana di sekolah memakai pakaian atau baju sukan yang sopan susulan cuaca panas ketika ini.

Selain soal pemakaian, Mohd Fared berkata, sebarang aktiviti luar bilik darjah termasuk perhimpunan juga adalah tidak digalakkan atau lebih baik dielakkan daripada dilaksanakan.

"Kita pun sama tidak galakkan semua aktiviti luar, bahkan perhimpunan pun sangat tidak digalakkan atau sebaik-baiknya tidak diadakan tanpa keperluan yang mendesak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 2:32 PM