PANTAI Tok Bali (gambar fail) FOTO Arkib NSTP
PANTAI Tok Bali (gambar fail) FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan negeri memaklumkan Pantai Tok Bali yang didakwa kotor dipenuhi sampah sehingga tular di media sosial adalah membabitkan tanah persendirian, bukannya di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Dr Izani Husin berkata, pantai di kawasan Tok Bali di bawah PBT sentiasa terjaga apabila pihak yang mendapat kontrak menjalankan rutin mengutip sampah.

"Walaupun tanah di pantai berkenaan adalah milik persendirian, kita sudah mengarahkan PBT untuk membersihkan kawasan itu. Kawasan yang kotor (di pantai), kebanyakan adalah tanah persendirian yang tidak dijaga dengan baik.

"Apabila ada sampah, orang akan ambil gambar dan viral (tular) yang menampakkan Kelantan kotor. Jadi orang akan salahkan kita (kerajaan negeri) dan ini tidak berlaku adil kepada kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia Peringkat Kelantan di di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, penyanyi, Hunny Madu, 39, terkejut dengan tahap kebersihan Pantai Tok Bali yang sangat kotor dan dipenuhi sampah-sarap.

Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim yang berkunjung ke situ berkata, dia pelik bagaimana keadaan pantai itu boleh berubah sama sekali berbanding sebelum ini

Mengulas lanjut, Dr Izani berharap semua pihak terutama rakyat supaya sama-sama menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 3:27 PM