Dr Izani Husin
Dr Izani Husin
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan memperuntukkan RM11.2 juta bagi program Kelantanku Bersih tahun hadapan yang membabitkan projek meningkatkan dan menaik taraf kemudahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, peruntukan itu bagi membina dan menaik taraf kemudahan pusat rekreasi dan pelancongan, kemudahan awam pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pusat pelupusan sampah.

Dengan peruntukan itu beliau berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat melaksanakan program Kelantanku Bersih dengan lebih efektif membabitkan masyarakat dan menjadikan zon bersih, indah serta ceria sebagai fokus.

"Saya menyeru semua pihak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan untuk berganding bahu bersama PBT bagi menjayakan hasrat kerajaan negeri dalam menjadikan kempen ini sinonim

dalam jiwa rakyat sekali gus dapat meningkatkan kesedaran pentingnya kebersihan dalam aspek kehidupan.

"Semoga kerjasama daripada semua pihak dapat menjayakan kempen ini dan menjadikan Kelantan sebagai salah sebuah negeri terbersih tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2021 serta Pelancaran Zon Bersih, Indah dan Ceria Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan di Hotel Perdana di sini, hari ini.

Dr Izani berkata, pada istiadat pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kali Pertama Penggal Ke-4 Dun Ke-14 2021 Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan supaya aspek kebersihan hendaklah diberi perhatian oleh setiap lapisan masyarakat.

"Bagi menjunjung titah baginda, program zon bersih, indah dan ceria di setiap kawasan PBT sudah dirancang dan dilaksanakan.

"Elemen kebersihan akan menekankan kepada kawasan bebas daripada sampah-sarap, kutipan yang efisien dan berjadual, kemudahan tong sampah, penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan program kebersihan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 4:03 PM