Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Oleh Amir Mamat


Melaka: Umno membidas kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung isu rundingan pengagihan kerusi antara Umno, Bersatu serta PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan menganggap ia sebagai mengelirukan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kenyataan yang dikeluarkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu itu tidak tepat dan mengelirukan Dewan.

Kata Abdul Rahman, beliau selaku wakil Umno dalam rundingan bersama dua parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu mengesahkan tiada persetujuan yang dicapai, sekali gus menafikan kenyataan Dr Ahmad Samsuri itu.

"Kononnya Umno ingkar kepada keputusan yang dicapai kerana seorang individu yang digelarnya 'Abang Long' sudah membuat keputusan untuk tidak menghormati persetujuan berkenaan.

"Kita kena ingat, pada 22 Oktober lalu, Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah membuat keputusan melalui kenyataan akhbar, gabungan parti itu akan meletakkan calon di semua 28 kerusi Dun. Pun begitu Umno berlapang dada dan berjiwa besar kerana pada 27 Oktober, kita datang untuk mendengar hujah dan pandangan daripada Bersatu dan PAS," katanya pada rakaman video yang dimuat naik di Facebook miliknya hari ini.

Abdul Rahman berkata, PN meletakkan syarat yang terlalu ketat dan tidak munasabah serta sukar untuk diterima oleh Umno dalam rundingan itu.

"Antara syaratnya apabila Timbalan Presiden Bersatu (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) menyatakan Umno tidak boleh dibenarkan bertanding dengan jumlah kerusi yang banyak sehingga membolehkan Umno membentuk kerajaan secara bersendirian, dengan alasan Umno mungkin tidak akan memberikan jawatan EXCO, ahli majlis dan ketua kampung kepada Bersatu dan PAS.

"Walaupun kita sudah menjelaskan pada mesyuarat rundingan itu semua kuota boleh dimasukkan dalam perjanjian bertulis yang boleh dibuat antara parti yang ingin bertanding pada PRN ini," katanya.

Abdul Rahman berkata, syarat kedua yang ditetapkan, Bersatu mahu menentukan calon Ketua Menteri daripada Umno dan ia tidak dapat diterima kerana sepatutnya Umno yang menentukan calon Ketua Menteri, bukannya parti lain.

"Berhubung pembahagian kerusi, Umno berpandangan langkah itu perlu bersandarkan kepada fakta dan hakikat. Kita tidak mahu berunding kerusi dengan hanya mengambil kerusi Melayu kemudian dibahagi dua dengan sebahagiannya diberi kepada Barisan Nasional (BN) dan sebahagiannya pula kepada PN.

"Itu adalah formula yang tidak boleh diterima dan yang (formula) menidakkan potensi terbaik untuk memenangi kerusi berkenaan. Sepatutnya pembahagian kerusi perlu dilakukan mengikut kekuatan parti masing-masing di kawasan tertentu," katanya.

Menurut Abdul Rahman, berdasarkan PRN ini, Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS pula lapan kerusi dan ia dua kali ganda lebih banyak daripada apa yang diperoleh PAS selain ia tidak dibahagi sama rata.

"Tetapi mengapa dengan Umno pula syaratnya berbeza iaitu mesti bertanding hampir sama rata (pembahagian kerusi).

"Ramai yang tahu Umno mempunyai jentera yang kuat, cawangan parti yang jauh lebih banyak daripada parti lain, sebab itu kita menetapkan kalau nak bertanding (pilihan raya) perlu mempunyai asas yang kukuh, bukan bermain dengan angka saja," katanya.

Menurut Abdul Rahman, Umno menganggap itu pengagihan yang tidak munasabah.

"Ia juga tidak adil kepada UMNO, seolah-olah mereka mahu menghukum kita menerusi syarat yang tidak munasabah itu," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, menerusi rundingan kali kedua tidak lama selepas itu, wakil Bersatu dan PAS bertindak meninggalkan bilik mesyuarat ketika perbincangan sedang berlangsung.

"Rundingan diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia ditinggal begitu saja oleh wakil Bersatu dan PAS. Mereka tidak menghormati Perdana Menteri.

"Justeru, tiada kata putus mengenai pembahagian kerusi itu sekali gus menafikan dakwaan Menteri Besar Terengganu itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRN Melaka
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 6:00 PM