Penduduk Blok G menunggu daripada tiga lif hanya satu saja boleh digunakan di Pangsapuri Mentari Court, Bandar Sunway. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Penduduk Blok G menunggu daripada tiga lif hanya satu saja boleh digunakan di Pangsapuri Mentari Court, Bandar Sunway. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Petaling Jaya: Perbadanan Pengurusan Apartment Mentari Court, Bandar Sunway di sini memberi jaminan dua lif daripada tiga lif di Blok G yang rosak akan dibaiki minggu ini.

Pengerusinya, Mohd Ali Zainuddin berkata, pihak penyelenggaraan lif sudah menempah alat ganti baharu dari Jepun.

Menurutnya, pihak pengurusan terpaksa menunggu lama kerana alat ganti berkenaan tiada di pasaran Malaysia.

"Sebenarnya hanya satu lif yang rosak sepenuhnya manakala satu lagi menghadapi masalah dari segi berat tampungan.

"Kita sudah menempah alat ganti baharu dari Jepun dan sudah sampai kepada kami, jadi minggu ini pihak penyelenggara akan memperbaiki lif ini," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Harian Metro melaporkan penduduk Blok G di apartment Mentari Court, Bandar Sunway di sini mengeluh apabila dua daripada tiga lif di blok berkenaan tidak berfungsi kira-kira dua bulan.

Ia menyebabkan penduduk terpaksa beratur panjang atau menaiki tangga untuk unit kediaman masing-masing.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata penduduk terpaksa menunggu sehingga 30 minit untuk menaiki lif.

Mohd Ali berkata, apabila sudah dibaiki lif berkenaan akan diuji selama tiga hari sebelum dibenarkan digunakan.

"Insya-Allah, penduduk dapat menggunakan kedua-dua lif ini pada minggu hadapan.

"Kos bagi alat ganti sebuah lif yang rosak berjumlah RM11,800 manakala sebuah lagi lif itu hanya perlu diperbaiki dan kosnya berjumlah RM2,850," katanya.

Mengenai pemakluman kepada penduduk, Mohd Ali berkata, notis makluman mengenai pembelian alat ganti itu juga sudah ditampal di lif sebelum ini untuk pengetahuan penduduk.

"Kita ada tampal notis pemakluman, tetapi ada orang yang koyak dan membuangnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 6:30 AM