Dr Ahmad Samsuri membacakan titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.  FOTO GHAZALI KORI
Dr Ahmad Samsuri membacakan titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengesyorkan kerajaan negeri melaksanakan satu kajian impak untuk negeri itu dengan mengambil kira persekitaran global.

Baginda bertitah, kajian impak itu termasuk kesan langsung terhadap sektor penting ekonomi negeri seperti perkhidmatan dan pelancongan apabila sempadan negara dibuka semula nanti.

Titah baginda, Bank Dunia dalam satu laporannya pada Januari 2022 membuat unjuran bahawa ekonomi dunia dijangka masih berkembang secara positif untuk 2022.

"Bagaimanapun, perkembangan ekonomi dunia ini dijangka menunjukkan trend atau arah aliran menurun iaitu pada kadar 5.5 peratus pada 2021, 4.1 peratus pada 2022 dan 3.2 peratus pada 2023.

"Trend penurunan dijangka berlaku ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia yang bakal menyebabkan banyak negara terkesan khasnya negara membangun seperti Malaysia.

"Perbelanjaan kerajaan dan penggubalan dasar kewangan di negara ini memerlukan pemikiran segar dan pendekatan berbeza kerana kita kini berada dalam satu keadaan yang belum pernah kita hadapi sebelum ini (uncharted territory)," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Titah ucapan baginda dibacakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Baginda bertitah, peperangan berikutan serangan tentera Rusia ke atas Ukraine akan mendatangkan impak sangat teruk kepada ekonomi dunia.

Titah baginda, sekatan ekonomi dikenakan ke atas Rusia turut menyebabkan harga komoditi di pasaran dunia seperti bahan api dan bahan makanan seperti gandum dan jagung meningkat.

Titahnya, kajian impak itu perlu mengenal pasti bukan sahaja memberi kesan ke atas pembangunan Terengganu, malah menghasilkan cadangan khusus bagi mengurangkan impak langsung ke atas isi rumah yang berpendapatan rendah B40 dan berpendapatan sederhana M40.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 5:11 PM