JAMALUDIN (dia kiri) membuat tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, kelmarin. FOTO ihsan JAINJ
JAMALUDIN (dia kiri) membuat tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, kelmarin. FOTO ihsan JAINJ
Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis sedang giat mengesan suspek berhubung kes kehilangan sekurang-kurangnya 11 batu nisan di pusara dekat Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa, Pandan, di sini yang didakwa dicuri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setiap hari pihaknya melakukan pemeriksaan dan tangkapan penagih dadah yang berkeliaran di kawasan terbabit namun belum mendapat petunjuk positif.

"Polis juga sudah membuat pemeriksaan terhadap pengusaha batu nisan di kawasan berhampiran tetapi tiada petanda positif.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelmarin, penjaga kubur berusia 62 tahun melaporkan kecurian batu nisan di Balai Polis Majidee.

Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh, dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan kehilangan 11 batu nisan di pusara yang dipercayai berlaku sejak seminggu sebelum sambutan Aidilfitri.

Penggali kubur, Muhammad Izzul Hafiq Ramlan, 29, percaya kecurian batu nisan itu dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab atau penagih dadah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jamaludin A Hamid melakukan tinjauan di tanah perkuburan itu kelmarin.

Katanya, JAINJ mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kes kecurian daripada berlaku.

"Pihak pengurusan tanah perkuburan akan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) seperti waktu ziarah hanya bermula 7 pagi hingga 6 petang dan selepas itu, jika ada sebarang pertanyaan boleh rujuk pihak pengurusan tanah perkuburan.

"Polis juga mencadangkan supaya pihak pengurusan tanah perkuburan menutup semua pintu sedia ada dan hanya menggunakan pintu utama saja untuk urusan ziarah dan pengebumian.

"Pihak pengurusan akan menambah kakitangan atau sukarelawan bagi meningkatkan aktiviti rondaan manakala kawasan perkuburan akan dinaik taraf serta diselenggara daripada segi kebersihan dan pencahayaan lampu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 12:35 PM