LEE Lam Thye.
LEE Lam Thye.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Selain dibayar gaji berpatutan, majikan juga perlu menekankan aspek keselamatan dan persekitaran kerja kondusif sebagai salah satu hak asasi pekerja.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (IKS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pekerja perlu tegas dalam memperjuangkan hak mereka kerana golongan itu tunjang yang menggerakkan produktiviti syarikat.

"Sempena Hari Pekerja yang akan disambut esok, perkara ini terpakai kepada semua industri di negara ini.

"Pekerja mesti diyakinkan bahawa langkah yang mencukupi diambil oleh majikan untuk memastikan mereka bebas daripada sebarang bentuk risiko, bahaya atau kemalangan.

"Majikan mesti memastikan bahawa pendidikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan harus dijadikan sebahagian daripada cara hidup dan skop kerja seorang pekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, majikan juga perlu menyediakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sesuai bagi setiap pekerja terutama dalam industri berisiko tinggi.

Selain itu, pekerja dinasihatkan untuk segera berbincang dengan majikan masing-masing sekiranya mempunyai sebarang masalah di tempat kerja bagi mencari penyelesaian terbaik.

Katanya, perkara itu selaras dengan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia (OSH) tahun ini yang bertemakan 'Persekitaran Kerja Selamat dan Sihat Hak Asas di Tempat Kerja'.

"Diharapkan agar pekerja akan terus tegas mengenai hak mereka sebagai pekerja kerana merekalah yang menyumbang kepada produktiviti.

"Majikan juga perlu melabur dalam mempromosikan keselamatan di tempat kerja dan bersedia menghantar pekerja mereka menjalani latihan bagi memastikan pengetahuan kesihatan dan keselamatan yang mencukupi semasa bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 7:11 PM