Omar Ahmad dan Izz Laily Hussein

Pontian: Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi pengurangan sebanyak 80 peratus ke atas bayaran premium tanah membabitkan perpindahan penduduk Kampung Seri Tanjung dan Kampung Nelayan Benut ke Kampung Parit Makuaseng, Benut di sini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Peruntukan berjumlah RM1.6 juta itu dimohon Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian.

"Saya sempat 'berbisik' dari jauh dengan Menteri Besar Johor tentang premium tanah tadi, untuk diskaun 80 peratus yang nilainya RM1.6 juta.

"Atas baik hatinya MB (Menteri Besar), kerajaan negeri akan beri diskaun 80 peratus," katanya ketika berucap ketika Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2023

Umno Bahagian Pontian dengan kerjasama Badan Perhubungan Umno Johor di Dewan Muafakat Kompleks Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian di Benut di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Naib Presiden Umno dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

AHMAD Zahid ketika hadir Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Umno Parlimen Pontian di Benut, Pontian. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
AHMAD Zahid ketika hadir Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Umno Parlimen Pontian di Benut, Pontian. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Terdahulu, ketika berucap, Ahmad menyampaikan hasrat itu yang sebelum ini turut dimohon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Hasni Mohammad.

"Di Parit Makuaseng, ada 170 rumah perpindahan kampung nelayan. Datuk Seri Hasni sebelum ini ada mohon supaya premium tanah itu dikurangkan 80 peratus.

"Premiumnya RM2 juta, tetapi orang kampung nelayan tidak ada duit untuk bayar premium tanah itu, maka Datuk Seri Hasni ada sebut jika boleh kurangkan 80 peratus, jadi 20 peratus sahaja orang kampung bayar iaitu RM400,000.

"Projek itu di bawah KKDW, jadi apalah kiranya, Menteri KKDW berikan satu lagi peruntukan, jadi boleh segera pindahkan rakyat ke situ," katanya.

Pada masa sama, Ahmad turut memohon peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi pembinaan masjid baharu di Parit Haji Ariff, Benut di sini, dan turut diluluskan segera Ahmad Zahid.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menyeru rakyat mendukung Kerajaan Perpaduan dalam mengukuhkan kestabilan politik yang selama ini tergugat.

Beliau berkata, kombinasi menteri dalam Kerajaan Perpaduan dengan kerjasamap kerajaan negeri memberi keyakinan pelaburan asing untuk datang ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 7:47 PM