LAPORAN Harian Metro semalam.
LAPORAN Harian Metro semalam.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Siasatan mendapati tiada unsur jenayah atau kecuaian dalam kejadian empat sekeluarga pengsan sebelum merempuh Plaza Tol Bentong, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, punca kejadian disebabkan oleh kekurangan oksigen dalam badan kesemua mangsa.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati tiada sebarang unsur lain termasuk kelalaian semasa memandu atau jenayah sebaliknya akibat kesan kekurangan oksigen.

"Perkara itu turut disahkan oleh doktor yang menjalankan pemeriksaan ke atas semua mangsa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Selain itu, Zaiham berkata, salah seorang anak mangsa turut menjelaskan keadaan ibu bapa dan dua beradiknya pengsan akibat keracunan oksigen dari penghawa dingin kenderaan.

Dalam kejadian 2.40 petang, empat sekeluarga pengsan di dalam kenderaan yang dinaiki dipercayai kekurangan oksigen sebelum merempuh Plaza Tol Bentong.

Zaiham dilaporkan berkata, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong di Selangor.

Beliau berkata, pegawai dan anggota polis yang menjalankan tugas rondaan Op Selamat 2023 di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak memberi bantuan awal kepada mangsa dibantu anggota peronda lebuh raya, orang awam dan pihak pengurusan lebuh raya.

Katanya, mangsa seorang lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak dikeluarkan dari kenderaan dan dirujuk kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 2:59 PM