SIM (tengah) menyampaikan hadiah kepada Simi Solhi, pemenang pertandingan bertuntung Kampung Sinar Budi Baru, Sarawak. FOTO Mohd Roji Kawi.
SIM (tengah) menyampaikan hadiah kepada Simi Solhi, pemenang pertandingan bertuntung Kampung Sinar Budi Baru, Sarawak. FOTO Mohd Roji Kawi.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dalam bergembira meraikan Aidilfitri, orang ramai diingatkan supaya tidak lupa ancaman terhadap kesihatan yang sedang dihadapi negara ketika ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ia berikutan varian Arcturus (XBB1.16) yang baru dikesan di Sarawak, yang menyebabkan enam kes positif Covid-19 setakat ini.

Turut membimbangkan katanya, cuaca panas melampau sejak dua minggu lalu yang bukan sahaja boleh mencetuskan keadaan berjerebu, tetapi juga boleh menyebabkan strok haba.

"Varian Arcturus berada di bawah pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana berpotensi untuk meningkatkan jangkitan dan patogenik.

"Ketika kunjung mengunjung pada perayaan ini, orang ramai harus peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan Covid-19 dan langkah-langkah pencegahan harus diamalkan seperti pemakaian pelitup muka serta menjaga kebersihan diri," katanya.

Dr Sim berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Bertuntung Sempena Sambutan Aidilfitri 2023 di Kampung Sinar Budi Bari, Batu Kawa, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, orang ramai yang mengalami gejala seperti demam, selsema dan batuk harus bertindak segera membuat pemeriksaan sendiri atau terus ke hospital.

"Langkah itu perlu untuk kita mengelak penyebaran wabak. Kita harus bertanggungjawab kepada kesihatan diri serta orang sekeliling," katanya.

Varian Arcturus dikenal pasti menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di India, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, cuaca panas melampau yang sedang dialami juga mampu menjejaskan kesihatan kerana kualiti udara mudah tercemar akibat keadaan berjerebu.

"Sama seperti Covid-19, orang ramai juga digalakkan memakai pelitup muka serta hadkan aktiviti luar untuk mengelakkan udara yang tidak sihat.

"Minumlah banyak air atau kerap mandi untuk mengelakkan kesan cuaca panas seperti demam, batuk dan juga strok haba," katanya.

Mengenai pertandingan bertuntung ialah pemasangan pelita minyak tanah serta lampu berwarna-warni bagi memeriahkan suasana perayaan, Dr Sim berkata, beliau kagum dengan semangat masyarakat Melayu mengekalkan tradisi itu.

"Walaupun harga minyak tanah mahal dan sukar didapati sekarang, masih ramai yang menghias kediaman dengan pelita.

"Semangat itu harus dipuji kerana ia menjamin tradisi yang diwarisi akan berkekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 8:59 AM