Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Era pentadbiran Kepala Batas di bawah Barisan Nasional (BN) selama lebih empat dekad berakhir apabila penyandangnya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya selama dua penggal.

Reezal Merican tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dr Siti Mastura Muhammad dengan memperoleh majoriti sebanyak 2,867.

Siti Mastura memenangi kerusi berkenaan dengan mendapat 28,604 undi manakala Reezal Merican pula memperoleh 25,737 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Mastura turut ditentang calon Muda, Muhammad Danial Abd Majeed yang memperoleh 14,214 undi dan calon Pejuang, Hamidi Abu Hassan sekadar mendapat 747 undi.

Reezal Merican bukan saja gagal untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya bahkan lebih buruk BN Pulau Pinang kehilangan kesemua kerusi yang menjadi kubu kuat Umno termasuk Tasek Gelugor.

Sementara itu, Siti Mastura berkata, kemenangannya bukan untuk dibangga-banggakan sebaliknya adalah untuk membuka buku baharu bagi menambahbaik bumi Kepala Batas.

Katanya, beliau turut berterima kasih kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepada dirinya, khususnya orang muda yang mengangkat dirinya menjadi wakil rakyat.

"Saya percaya kemenangan saya ini didorong kepada pengundi berusia 18 tahun yang mereka mahukan perubahan dan menolak agenda politik kotor.

"Oleh itu, saya akan buat yang terbaik dan memastikan kebajikan rakyat di parlimen ini dapat diteruskan," katanya.

Pada PRU-14, Reezal Merican menang kerusi berkenaan dengan memperoleh undi sebanyak 22,459 undi menewaskan calon PKR, Zaidi Zakaria yang mendapat undi sebanyak 17,723 undi dan Siti Mastura Mohamad dari Pas yang mendapat undi sebanyak 12,120 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 1:46 AM