Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.
Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua wanita warga China dan lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki terbabit sindiket penipuan secara pukau yang menyasarkan warga emas di negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mereka ditahan dalam Op Gagak yang digerakkan pada 11.45 pagi semalam, selepas sepasukan pegawai dan anggota mengekori kereta mereka di Simpang Kuala di sini.

"Lelaki tempatan berusia 24 tahun itu mengaku bertindak sebagai pemandu kepada dua wanita warga China yang berusia 47 dan 55 tahun yang menjalankan aktiviti penipuan secara pukau bersemuka dengan menyasarkan warga emas.

"Hasil semakan mendapati sehingga kini terdapat satu kes dilaporkan dalam daerah Kota Setar membabitkan seorang suri rumah lingkungan usia 70 tahun yang kerugian anggaran RM110,000.

"Ketiga-tiga kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Hassan berkata, kes yang dilapor pada 12 April itu berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihaknya merampas seutas jam tangan jenama Rolex, dua utas rantai leher dan sebentuk cincin perak disyaki emas putih, tujuh pasang subang emas, enam utas rantai leher, empat utas gelang kaki emas dan lima bentuk cincin emas .

"Turut ditemui, bar bertulisan disyaki emas, sepasang subang perak, empat loket emas serta wang tunai bercampur-campur sebanyak RM1,667, termasuk wang tunai mata wang Yuan China iaitu 700 Yuan, mata wang Hong Kong bernilai 1,000, beg silang biru serta tiga telefon bimbit dan sebuah kereta Honda City," katanya.

Katanya, sindiket itu dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dan menyewa kenderaan bagi memudahkan pergerakan.

Katanya, modus operandi mereka dengan mengenal pasti mangsa di sekitar pasar pagi dan berpura-pura meminta bantuan kewangan dengan alasan mempunyai saudara yang sakit.

"Mereka akan mendorong mangsa untuk menyerahkan wang, barang kemas atau barangan berharga dan menjanjikan pulangan semula yang lumayan sebagai balasan terhadap bantuan diberikan.

"Bagaimanapun sewaktu pemulangan semula bantuan terbabit, mangsa mendapati hanya terdapat air mineral dan garam yang diletakkan dalam sampul," katanya.

Sehubungan itu, Wan Hassan menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati seperti tidak mudah percaya terhadap rayuan individu yang tidak dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 1:14 PM