HASNAH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun palsu, empat tahun lalu. FOTO Azrul Edham
HASNAH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun palsu, empat tahun lalu. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Seremban: Bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun palsu, empat tahun lalu.

Hasnah Yusof, 68, mengaku bersalah terhadap dakwaan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Tuntutan Elaun Penugasan Keselamatan Rela Jabatan Kastam bagi Januari hingga Mac 2019.

Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen borang tuntutan berkenaan adalah palsu.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Rela Negeri Sembilan, Wisma Persekutuan, Jalan Dato Abdul Kadir, di sini, pada Januari hingga Mac 2019.

Dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam rayuannya, warga emas yang tidak diwakili peguam itu memohon mahkamah mengurangkan hukumannya dengan alasan dia kini sudah tidak bekerja selain berstatus ibu tunggal.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

Mohamad Azriff juga memohon mahkamah supaya wang berjumlah RM2,088 yang disita dilucuthak kepada kerajaan Malaysia melalui Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000, jika gagal bayar boleh dipenjara selama lima bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 11:37 AM