Aizat Sharif


Padang Besar: Sudahlah memperoleh bekalan diesel daripada pembekal yang meragukan malah sebuah premis stor pemborong diesel menjualnya secara tidak sah kepada kenderaan asing di kawasan perindustrian Padang Besar sejak setahun lalu.

Namun kegiatan itu akhirnya tumpas selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Ops Tiris menjalankan serbuan terhadap premis itu bersama polis semalam.

Hasil serbuan sebanyak 26,000 liter diesel tidak bersubsidi bernilai RM55,900 dirampas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN Perlis, Farah Adlina Ropaie berkata, serbuan dilakukan secara bersepadu sekitar jam 1 tengah hari bersama polis.

"Serbuan dilakukan hasil daripada risikan selepas menerima aduan daripada orang awam dan ketika pemeriksaan dijalankan, pemilik premis berkenaan yang berusia dalam 40-an didapati gagal menyelenggara atau mengemaskini buku stok barang kawalan iaitu dalam hal ini adalah diesel.

"Malah, bekalan juga disyaki diperoleh daripada pembekal yang meragukan berlainan daripada pembekal yang sudah berdaftar untuk membekalkan diesel ke premis berkenaan.

"Selain itu, hasil semakan kita ke atas buku stok berkenaan mendapati bekalan diesel ini dijual secara tidak sah kepada kenderaan perseorangan pendaftaran Thailand walhal ia sepatutnya dijual kepada kenderaan industri," katanya kepada media di Kawasan Perindustrian Padang Besar, di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati pemilik premis berkenaan sudah lapan tahun beroperasi di kawasan berkenaan.

"Namun, dia mula menjalankan kegiatan ini sejak setahun lalu dengan memperoleh bekalan diesel daripada pemborong di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

"Kita juga turut merampas dokumen seperti buku stok barang kawalan untuk tindakan dan siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang turut boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2011," katanya.

Farah Adlina menjelaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kepada pemilik atau pemborong diesel dan petrol berlesen untuk menyelenggara atau mengemaskini urusan buku stok barang kawalan setiap hari kerana kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 13 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Sementara itu, tujuh kes penyelewengan diesel dan petrol direkodkan berlaku sepanjang 'Ops Tiris' sejak 1 Mac lalu.

"Dari kes berkenaan, tujuh suspek termasuk seorang warga Thailand ditahan membabitkan rampasan berjumlah RM166,602.

"Selain itu juga, kita turut melaksanakan 61 pemeriksaan merangkumi stesen minyak, pemborong diesel, pemegang permit barang kawalan berjadual, pemegang permit lhas, kuari dan Persatuan Nelayan kawasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 2:23 PM
Farah Adlina dan penguatkuasa KPDN Perlis sedang meneliti bekalan diesel yang dirampas dan masih terdapat dalam tangki penyimpanan di sebuah stor pemborong diesel di Kawasan Perindustrian Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF
Farah Adlina dan penguatkuasa KPDN Perlis sedang meneliti bekalan diesel yang dirampas dan masih terdapat dalam tangki penyimpanan di sebuah stor pemborong diesel di Kawasan Perindustrian Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF