Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Hakim Syarie perlu menggalas tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin kerana ia adalah amanah daripada Allah dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran agama di negeri ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda berharap lantikan itu memberi sedikit sebanyak semangat untuk terus menegakkan syiar Islam dengan cukup sempurna.

Titah baginda, secara keseluruhannya baginda begitu kagum dengan urusan agama Islam di Pulau Pinang yang ditadbir dengan baik walaupun banyak desakan dan cabaran.

"Saya sentiasa baca kertas cadangan MAINPP dengan teliti, kalau ada komen saya akan tegur kepada wakil Istana Negara serta MAINPP dan saya boleh banding dengan kertas kerja Melaka, Pulau Pinang lebih sensasi daripada segi cabaran yang dihadapi.

"Namun dengan berkat Allah SWT dan ketokohan Gabenor Pulau Pinang sebagai penaung MAINPP... pimpinan Datuk (Ahmad) Zakiyuddin, Alhamdulillah perancangan yang dibuat begitu memberangsangkan harap dimajukan dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan boleh dicontohi.

"Saya perhatikan di Pulau Pinang yang rakyatnya berbilang agama, budaya dan pelbagai perbezaan dapat diurus sebaik mungkin.

"Saya bangga dan bersyukur dapat memainkan peranan sekadar kemampuan saya apabila dilantik untuk mendengar masalah dengan rapi dan teliti termasuk juga di Melaka, Sabah dan Sarawak," titah baginda ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli MAINPP dan Hakim Syarie di Batu Ferringhi dekat sini, hari ini.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Seri Paduka bertitah, baginda mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Munakasah yang diadakan sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi mempersembahkan mengenai persetujuan, pandangan bagi Majlis Agama Islam Negeri dinaungi Yang di-Pertuan Agong.

Baginda bertitah, justeru, menghitung detik persaraan berbaki kira-kira 298 hari, Seri Paduka berharap usaha itu dapat diteruskan Yang di-Pertuan Agong akan datang sebagai platform berkongsi buah fikiran.

Dalam pada itu, baginda berkongsi rasa terharu ketika lawatan ke Kampung Banggol, Kepala Batas dekat sini, semalam yang pernah dikunjungi Almarhum Paduka Ayahanda baginda kira-kira 40 tahun lalu, sekali gus memperingati hari kemangkatan Almarhum yang jatuh pada 17 Ramadan pada 2019 bersamaan Hari Nuzul al-Quran hari ini.

Sementara itu, mengetuai penerima ahli MAINPP ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua MAINPP, diikuti Timbalannya, Datuk Dr Roslan Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sayuthi Bakar; Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Nor dan Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang, Roslinda Mohd Shafie.

Penyampaian watikah diteruskan kepada Hakim Syarie didahului Ketua Hakim Syarie, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab, diikuti Datuk Mohd Amran Mat Zain, Datuk Mohd Radzi Abd Latif, Datuk Mohd Shakir Abdul Hamid dan Datuk Abas Nordin, Noor Hadina Ahmad Zabidi dan Hasniah Hassan.

Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima cenderahati daripada Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (kanan) pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam dan Hakim Syarie Negeri Pulau Pinang di Pelangi Ballroom, Shangri-La Rasa Sayang, Batu Ferringhi di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima cenderahati daripada Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (kanan) pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam dan Hakim Syarie Negeri Pulau Pinang di Pelangi Ballroom, Shangri-La Rasa Sayang, Batu Ferringhi di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 1:51 PM