Siti Rohana Idris


Tumpat: Hasrat untuk membantu orang ramai memiliki perabot menyebabkan ahli perniagaan ini menjual perkakas rumah pada harga dua kali ganda lebih murah daripada harga asal.

Mohd Noor Yaacob, 65, mengambil inisiatif itu sejak pertengahan bulan lalu dan menjualnya di pekarangan rumah di Jalan Puteri Saadong, Wakaf Bharu, di sini.

Mohd Noor berkata, dia memperoleh bekalan perabot terpakai itu daripada pembekal di Rengit dan Batu Pahat, Johor.

"Pada mulanya saya tidak berhasrat untuk membabitkan diri dalam perniagaan perabot terpakai tapi saya berjumpa dengan pemborong di dua tempat itu ketika bercuti di Johor tahun lalu.

"Saya terfikir idea untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan memiliki perabot dan memutuskan untuk membeli perabot secara borong dan ditempatkan di pekarangan rumah.

"Harga yang dijual bukanlah separuh daripada harga asal tapi lebih dua kali ganda rendah, asalkan masih ada sedikit keuntungan buat saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bapa kepada lapan cahaya mata itu berkata, harga jualan perabot terpakainya serendah RM100 sehingga RM3,500, yang antaranya sofa, meja makan, tilam, almari dan kerusi pelbagai guna.

Katanya lagi, bisnesnya semakin diketahui umum hasil promosi di media sosial dan perkongsian mulut ke mulut oleh pelanggan yang turut menggelarnya jualan berkonsep rahmah.

"Selain orang perseorangan, ada juga pengusaha inap desa dan rumah tumpangan yang datang membeli," katanya yang turut menjual barangan elektrik dan permaidani terpakai.

Menurutnya, mesin basuh dan kipas antaranya, akan dibaiki terlebih dahulu dan mempunyai jaminan seminggu, dijual pada harga RM499 (mesin basuh) dan RM60 untuk kipas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 2:19 PM
NOOR memeriksa peralatan perabot terpakai untuk membantu orang ramai memiliki perabot dengan harga murah dua kali ganda daripada harga asal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NOOR memeriksa peralatan perabot terpakai untuk membantu orang ramai memiliki perabot dengan harga murah dua kali ganda daripada harga asal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar