MOHD Nizam menangkap ular tedung selar yang memasuki rumah penduduk. FOTO Ihsan Mohd Nizam
MOHD Nizam menangkap ular tedung selar yang memasuki rumah penduduk. FOTO Ihsan Mohd Nizam
Zuliaty Zulkiffli


Changlun: Sebuah keluarga yang sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa di Kampung Changkat Setoi, di sini, hari ini 'diganggu' seekor ular tedung selar yang memasuki kediaman mereka.

Kehadiran ular tedung selar sepanjang hampir tiga meter itu disedari penghuni rumah berkenaan ketika hendak mengambil barang dalam stor, pada 7 petang.

Sukarelawan penangkap ular, Mohd Nizam Abdul Rahman, 54, berkata, dia menerima panggilan berhubung kejadian sebelum waktu berbuka puasa dan bergegas ke lokasi untuk melihat keadaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, dia segera masuk ke dalam stor dan ternampak ular tedung selar itu agak kekenyangan.

"Mungkin dia baru telan tikus kerana perutnya kembung namun reptilia itu nampak kekenyangan dan memudahkan saya untuk menangkapnya.

"Selepas menangkap ular itu, saya hubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk mengambilnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nizam yang sudah lama menceburi bidang menangkap ular berkata, berkemungkinan ular itu datang dari kawasan semak berhampiran untuk berlindung di rumah penduduk.

Dia yang kini bekerja di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok sering membantu penduduk kampung untuk menangkap ular secara sukarela sejak beberapa tahun lalu dan pernah berkhidmat sukarelawan APM Kubang Pasu sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 11:50 PM