ANGGOTA APM menunjukkan ular tedur selar yang ditangkap di Kampung Pengalat Besar, Melinsung, Papar, petang semalam. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM menunjukkan ular tedur selar yang ditangkap di Kampung Pengalat Besar, Melinsung, Papar, petang semalam. FOTO ihsan APM
Norasikin Daineh


LELAKI terkejut apabila mendapati ular tedung selar sepanjang 2.4 meter melingkar di bawah keretanya di Kampung Pengalat Besar, Melinsung, Papar, petang semalam.

Dalam kejadian 6.20 petang itu, Jamrin Ismail, 45, menyedari kehadiran ular itu ketika mahu menutup pagar rumahnya.

“Ketika itu, kami sekeluarga bersiap untuk berbuka puasa dan saya turun untuk menutup pagar di hadapan rumah.

“Saya tidak sangka ular itu betul-betul melintang di hadapan pagar sebelum ia bergerak menyusur ke bawah kereta,” katanya ketika dihubungi.

Jamrin berkata, bimbang keselamatan diri dan keluarga, dia menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menangkap haiwan berbisa itu.

Menurutnya, dia merancang menggunakan kereta itu sebaik selesai berbuka puasa untuk mengambil anak perempuan di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Papar Leftenan Abdul Razaq @ Bensuad Basir, berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.32 malam dan sepasukan anggota dikejar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, operasi menangkap ular seberat lima kilogram itu dilakukan dengan menggunakan alat khas dan operasi ditamatkan pada 7.41 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 10:33 AM