Zuliaty Zulkiffli


DENGAN mengamalkan doa Nabi Nuh dan doa Nabi Sulaiman, Mohd Nizam Abdul Rahman, 50, dapat menangkap beberapa spesis ular termasuk yang berbisa sejak lebih lima tahun lalu.

Mohd Nizam yang lebih dikenali sebagai Abang Ndek berkata, terbaru dia berjaya menangkap ular tedung selar sepanjang kira-kira empat meter dalam tandas di sebuah universiti tempatan di Kedah petang semalam.

Ular tedung selar seberat lima kilogram itu ditemui jam 4.30 petang melingkar dalam mangkuk tandas dan tidak dapat keluar disebabkan ruang yang sempit.

Dia yang mempunyai pengalaman luas menangkap reptilia itu dipanggil untuk mengeluarkan ular berkenaan kerana bimbang dan bersembunyi di tempat lain.

“Saya tidak mempunyai rahsia dan hanya mengamalkan bacaan doa Nabi Nuh dan Nabi Sulaiman untuk menjauhkan diri daripada binatang berbisa ketika hendak menangkap ular selain cuba berbual dengan reptilia itu untuk mengumpan ia keluar.

“Ular tedung selar itu paling besar dan panjang pernah saya temui dan tangkap semalam malah saya agak keletihan juga ketika menangkapnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Mohd Nizam berkata, ular itu kemudian ditinggalkan kepada pihak universiti dan terpulang kepada mereka sama ada untuk menyerahkan kepada pihak berkaitan.

Katanya, untuk menangkap ular berbisa biasanya mengambil masa antara lima hingga 10 minit dan perlu cepat dan pantas kerana bimbang ia akan terlepas.

"Namun bagi ular yang tidak berbisa, banyak masa diluangkan untuk menangkap reptilia itu kerana sambil itu saya boleh ‘bermain-main’ dengan ular itu, " katanya yang bertugas sebagai pencuci bangunan.

Mohd Nizam berkata, dia tidak pernah belajar atau berguru dengan sesiapa untuk menangkap ular kerana yang penting fokus ketika berhadapan dengan reptilia itu tanpa menggunakan sebarang peralatan.

Katanya, dia pernah dipatuk ular tedung senduk menyebabkan dia sentiasa berhati-hati kerana berdepan reptilia berbisa.

“Saya tolong dengan niat untuk membantu orang ramai dan kerana Allah. Bukan mahu menunjuk-nunjuk.

“Saya sendiri tak tahu ada orang tular gambar saya menangkap ular di laman sosial kerana satu gambar pun saya tak simpan," katanya.

Menurutnya, dia kini mencurahkan ilmu menangkap ular kepada anak tunggalnya, Umi Umairah Mohd Nizam, 17, dan pernah membawanya bersama ketika menangkap reptilia itu ketika berusia tujuh tahun.

Katanya, ular yang ditangkap biasanya akan dilepaskan ke habitat asal yang jauh dari penempatan penduduk selain diserahkan kepada pihak universiti untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 5:43 PM
Ular tedung selar sepanjang empat meter yang ditangkap Mohd Nizam. FOTO ihsan pembaca
Ular tedung selar sepanjang empat meter yang ditangkap Mohd Nizam. FOTO ihsan pembaca