Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Memasuki lima Ramadan semalam, Bazar Ramadan Rahmah di Taman Persisiran Ipoh Riverfront atau dikenali sebagai 'People's Park' di sini, masih belum mendapat sambutan.

Tapak niaga itu sunyi dan lengang dengan kehadiran pengunjung berbanding bazar di lokasi lain dalam bandar raya ini biarpun kawasan bazar itu lebih dikenali sebagai tapak niaga pasar malam pada setiap malam hujung minggu.

Tinjauan kira-kira jam 5.30 petang semalam, mendapati sekurang-kurangnya lapan kanopi kosong tanpa kehadiran peniaga dengan hanya 11 gerai dibuka biarpun bazar itu, difahamkan adalah satu-satunya Bazar Ramadan Rahmah di Perak, seharusnya menempatkan lebih 20 peniaga.

Keadaan serupa berlaku menerusi tinjauan pada hari pertama pembukaannya pada Khamis lalu apabila ketika itu, banyak kanopi juga masih kosong tanpa peniaga.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selaku penganjur bersama bazar terbabit melalui jurucakapnya pada Ahad lalu turut mengakui, Bazar Ramadan Rahmah anjuran MBI bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dibuka sepanjang Ramadan ini, seawal jam 3 petang, kurang mendapat sambutan.

Perkara itu berlaku biarpun adanya inisiatif mempromosikannya diambil oleh penganjur iaitu dengan menawarkan tambahan nilai e-dompet sebanyak RM20, terhad kepada 6,000 pengunjung sepanjang Ramadan ini, membabitkan pemberian kepada 600 pengunjung setiap hari bagi 10 hari terpilih sepanjang Ramadan.

KANOPI kosong tanpa peniaga di Bazar Ramadan Rahmah di Taman Persisiran Ipoh Riverfront atau dikenali People's Park. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
KANOPI kosong tanpa peniaga di Bazar Ramadan Rahmah di Taman Persisiran Ipoh Riverfront atau dikenali People's Park. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Peniaga popia goreng, Mat Fazrin Mat Rabu, 31, berkata, tiga hari pertama dia membuka gerai di bazar berkenaan menyaksikan jualannya tidak pulang modal biarpun mengakui ada peningkatan jualan sebanyak 20 peratus bagi dua hari selepasnya.

Ramadan pertama hingga ketiga, sambutan sangat kurang menyebabkan saya tidak pulang modal. Walaupun sesudah itu jualan meningkat, namun margin jualan tidak banyak, hanya untung sedikit.

"Hendak kata kesal berniaga di sini, tidak sampai begitu kerana ini kali pertama saya berniaga di bazar Ramadan sejak mula berniaga pada tahun lalu," katanya ditemui.

Mat Fazrin turut mengakui, biarpun kawasan bazar Ramadan itu terletak sangat hampir dengan jalan utama iaitu Jalan Sultan Iskandar, namun kedudukannya yang agak terpencil dalam kawasan taman rekreasi mini selain ruang parkir terhad mungkin antara faktor ia kurang dikunjungi.

"Pada saya, kedudukannya sudah strategik kerana berhampiran jalan utama. Namun mungkin kerana kurang promosi seperti saiz papan tanda yang kecil, ruang parkir terhad serta banyak jalan kecil sehala berdekatan membuatkan orang ramai susah berkunjung ke sini," katanya.

Sementara itu, Izzati Azhar, 25, yang menjual roti John serta roti Khurasan inti daging dan ayam pada harga RM5 ke bawah berkata, ramai yang membeli di bazar itu disifatkannya hanya kebetulan dalam perjalanan atau melalui kawasan berkenaan.

"Saya harap bazar akan mendapat sambutan selepas ini kerana makanan dijual pada harga murah selain pelbagai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 12:11 PM