LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Hasrat seorang bapa untuk melihat anak perempuannya berpakaian sedondon pada Aidilfitri ini tidak kesampaian apabila kanak-kanak berusia 9 tahun itu maut digilis treler di Kampung Telok Gong, Klang, hari ini.

Muhammad Jamathir Ahmad Nordin, 32 turut terkilan kerana baju raya yang dibelinya secara dalam talian baharu sampai minggu lalu dan anaknya, Nurul Jannatun Assyifa amat teruja melihatnya.

"Kami sekeluarga sepakat untuk mengenakan tema hitam pada Aidilfitri ini, dan saya membeli pakaian raya secara dalam talian.

"Dia seronok melihat pakaian itu. Bagaimanapun sudah ditakdirkan begitu, memang sedih tapi saya perlu reda," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, hari ini.

Beliau berkata, anak kedua dari tiga beradik itu tidak menunjukkan apa-apa petanda malah sempat bersalaman dengan anak-anak sebelum bergerak ke tempat kerja pada jam 6.30 pagi.

Katanya, kemalangan itu dimaklumkan oleh isterinya yang mendapat makluman daripada orang kampung.

"Saya kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan anak saya masih di situ pada jam 11.35 pagi," katanya.

Ditanya mengenai keadaan anak bongsu yang turut terbabit dalam kemalangan itu, Muhammad Jamathir berkata, anaknya Alif Zahfran, 7 akan menjalani pembedahan di bahagian kepala akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan terbabit.

Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan maut manakala adik lelakinya cedera selepas motosikal dibonceng bersama pengasuh yang juga jirannya dilanggar treler ketika pulang dari sekolah di Jalan Tengah, Kampung Telok Gong dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat dipetik berkata mangsa yang meninggal dunia berusia sembilan tahun manakala adik lelakinya berusia tujuh tahun serta jiran wanita berusia 54 tahun yang juga pengasuh, cedera ringan.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku ketika pengasuh dalam perjalanan pulang selepas mengambil dua beradik itu dari sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 8:24 PM