BANDUAN dan bekas banduan yang bekerja di Pusat Pengedaran Barangan Kering Lotus’s, Bukit Beruntung. FOTO Amirudin Sahib
BANDUAN dan bekas banduan yang bekerja di Pusat Pengedaran Barangan Kering Lotus’s, Bukit Beruntung. FOTO Amirudin Sahib
Nurul Hidayah Bahaudin dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Kubu Bharu: Inisiatif Jabatan Penjara menubuhkan program Corporate Smart Internship (CSI) mendapat sambutan mengalakkan dalam kalangan syarikat apabila banyak permintaan dibuat untuk mendapatkan pekerja di kalangan banduan.

Ketua Jabatan Sumber Manusia Lotus's Malaysia Alvin Low berkata, pihaknya mengetahui mengenai program itu melalui pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Putrajaya pada Jun tahun lalu.

"Susulan itu, kami mengemukakan kertas cadangan bagi projek pilot daripada Lotus's kepada Jabatan Penjara yang akan menempatkan pekerja dalam kalangan banduan di Pusat Pengedaran Lotus's di Bukit Beruntung, Selangor.

"Sebaik cadangan itu diterima, kami menerima 33 banduan lelaki kategori orang diparol berusia antara 20 hingga 55 tahun pada tahun lalu.

"Kami turut menyediakan kemudahan tempat tinggal dan bas ulang-alik kepada pekerja banduan sepanjang tempoh program berkenaan iaitu antara tiga hingga enam bulan," katanya ketika ditemui di Pusat Pengedaran Lotus's, Bukit Beruntung, baru-baru ini.

Alvin berkata, pihaknya juga ada menawarkan kerja secara tetap kepada banduan yang sudah tamat tempoh menjalani program itu dengan lima bekas banduan sudah diambil bekerja sehingga kini.

"Ada banduan yang berminat untuk kerja secara tetap memandangkan sepanjang tempoh mereka menjalani program berkenaan, mereka menerima gaji sama seperti pekerja biasa berserta manfaat lain seperti Perkeso, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta insurans kesihatan, kemalangan dan hayat.

"Inisiatif Jabatan Penjara ini adalah langkah bagus dari segi sosial ekonomi masyarakat terutama golongan banduan yang patut diberi peluang kedua dalam kehidupan mereka," katanya yang memaklumkan Lotus's akan meneruskan penyertaan mereka dalam program berkenaan.

Beliau berkata, Lotus's berhasrat untuk memperluaskan program itu di pusat pengedaran serta pasar raya lain pada masa akan datang.

"Ketika ini, kami ada meminta untuk mendapatkan lebih ramai banduan menyertai program berkenaan di Lotus's. Namun kami dimaklumkan pihak Jabatan Penjara mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima banyak permintaan daripada syarikat lain juga.

"Kami berharap supaya pihak Lotus's diberi lebih ramai pekerja dalam kalangan banduan daripada Jabatan Penjara agar kami dapat membantu lebih ramai golongan terbabit mendapatkan pekerjaan," katanya.

T SELVAA (tengah) memberi penerangan kepada banduan dan bekas banduan sebelum memulakan kerja di Pusat Pengedaran Barangan Kering Lotus’s, Bukit Beruntung. FOTO Amirudin Sahib
T SELVAA (tengah) memberi penerangan kepada banduan dan bekas banduan sebelum memulakan kerja di Pusat Pengedaran Barangan Kering Lotus’s, Bukit Beruntung. FOTO Amirudin Sahib

Sementara itu, Pengurus Besar Pusat Pengedaran Lotus's di Bukit Beruntung T Selvaa berkata, semua banduan yang ditempatkan di premis berkenaan bekerja di dua bahagian iaitu bahagian penerimaan (barang masuk) dan bahagian penghantaran (barang keluar).

"Waktu mereka (banduan) bekerja sama seperti pekerja lain iaitu lima hari seminggu dan sepanjang tempoh mengendalikan mereka, kami tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah yang serius.

"Malah rakan sekerja juga melayan mereka dengan baik dan boleh bekerja dalam satu pasukan.

"Ada juga banduan yang menyatakan hasrat mahu terus bekerja dengan pihak Lotus's di pasar raya atau pusat pengedaran berhampiran dengan tempat tinggal mereka sebaik dibebaskan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 7:20 AM