AHMAD Zaini bersama pemenang daripada NST dan Berita Harian serta wakil Harian Metro pada Malam Apresiasi Media Agrobank. FOTO Eizairi Shamsudin.
AHMAD Zaini bersama pemenang daripada NST dan Berita Harian serta wakil Harian Metro pada Malam Apresiasi Media Agrobank. FOTO Eizairi Shamsudin.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Harian Metro terus mengungguli laporan perbankan apabila menerima dua anugerah pada Malam Apresiasi Media Agrobank yang berlangsung di sini, malam ini.

Harian Metro menerima Anugerah Media Bahasa Melayu Terbaik (Spotlight Agrobank), manakala wartawan sambilan Harian Metro Noorazura Abdul Rahman menerima Anugerah Wartawan Terbaik (Sidekick Salute Agrobank).

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarah Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Sementara itu, BH menerima Anugerah 'Spotlight Agrobank bagi kategori Media Dalam Talian Terbaik.

Sementara, wartawan BH, Hazwan Faisal Mohamad menerima Anugerah 'Sidekick Salute' Agrobank selaku wartawan terbaik.

Wartawan NST, Azanis Shahila Aman turut menerima Anugerah 'Sidekick Salute' Agrobank.

Setiap penerima anugerah membawa pulang wang tunai, plak kemenangan dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Agrobank juga melancarkan Program Rakan Tani Muda Agrobank membabitkan murid dari 80 sekolah seluruh negara bagi menerap dan menyemai nilai pertanian dalam kalangan mereka.

Tengku Ahmad Badli berkata, bagi menjayakan program berkonsepkan pendidikan pertanian itu, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM240,000.

"Daripada jumlah itu, dana sebanyak RM3,000 diperuntukkan kepada setiap sekolah bagi menyokong usaha dijalankan oleh murid guru dan pengurusan sekolah.

"Bagi menggalakkan lagi pembabitan murid-murid dalam bidang pertanian di sekolah, Pertandingan Rakan Tani Muda Agrobank digarab untuk mempergiatkan lagi aktiviti pertanian dan perkebunan dalam kalangan sekolah rendah seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 1:03 AM