ZAHIDI (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman dan Naib Canselor UCAM Prof Datuk Dr Faridah Hanam Mohd Rashid.
ZAHIDI (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman dan Naib Canselor UCAM Prof Datuk Dr Faridah Hanam Mohd Rashid.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerusi institusi pengajian tingginya, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Agrobank bagi mewujudkan kampus tanpa tunai.

Menerusi kerjasama itu, Agrobank menawarkan rumusan yang menjurus kepada konsep pembayaran tanpa tunai dengan hanya menggunakan kad pintar pelbagai fungsi.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kad pintar itu menggabungkan pelbagai ciri seperti kad debit, identiti pelajar dan kakitangan UCAM, sekali gus menjadi institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia menggunakan teknologi pembayaran daripada Agrobank.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan kad pintar pelbagai fungsi itu boleh digunakan bukan saja untuk pengeluaran wang di mesin juruwang automatik (ATM), malah ia boleh menjadi platform semua transaksi pembayaran antaranya yuran pelajar, pembayaran semula pembiayaan, pembayaran bil elektrik dan bil makanan di kafe.

“Selain itu, Agrobank turut menawarkan program pembangunan insan kepada penuntut UCAM khasnya bagi memperkasakan industri pertanian menerusi pemantapan golongan pelapis dengan memberikan kemudahan kepada pelajar untuk meningkatkan pengetahuan mengenai industri pertanian menerusi pelbagai program daripada bank berkenaan.

“Agrobank juga menawarkan peluang kepada pelajar cemerlang UCAM untuk menjadi warga kerjanya dan diserap masuk bagi menjalani latihan industri di jabatan terpilih di bank terbabit,” katanya kepada Bisnes Metro pada majlis menandatangani kerjasama strategik yang disaksikan Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, di sini, semalam.

Menerusi kerjasama itu, Agrobank bakal menyediakan program pembiayaan dan latihan keusahawanan berstruktur untuk usahawan kelahiran UCAM yang menjadi pelanggan Agrobank.

Selain itu, ia juga membuka peluang kepada UCAM untuk berkongsi hasil penyelidikan menerusi program Bicara Agro serta menyediakan kepakaran teknologi maklumat serta khidmat sokongan kemudahan infrastruktur yang sesuai dalam usaha mewujudkan e-kampus pertanian di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 9:44 AM