Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) Terengganu mencari ibu kandung Noor Aliesya Natasha Abdullah, 3. FOTO IHSAN JKM
Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) Terengganu mencari ibu kandung Noor Aliesya Natasha Abdullah, 3. FOTO IHSAN JKM
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu mencari ibu kandung atau waris seorang kanak-kanak perempuan yang kini berada di bawah jagaannya sejak 2019.

Noor Aliesya Natasha Abdullah yang berusia tiga tahun kini ditempatkan di institusi JKM iaitu Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman Mohd Fadzli Ismail berkata, pihaknya sedang mengesan ibu kandungnya yang dikenali Hazlida Ghazali, 38, selepas tempoh jagaan kanak-kanak itu sudah tamat.

Menurutnya, kali terakhir ibu kandung kanak-kanak dikesan ketika membuat permohonan perintah jagaan di mahkamah, tiga tahun lalu.

"Selepas kanak-kanak berkenaan mendapat perintah jagaan kepada JKM, ibu kandungnya menghilangkan diri selain tidak berjumpa atau berhubung dengan anaknya.

"Kami (JKM), mendapat perintah sementara oleh mahkamah bermula 20 Oktober hingga 21 November 2019, manakala perintah jagaan tetap diberikan pada 4 Februari 2020 hingga 4 Februari lalu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Fadzli berkata, pihak pelindung mahu mendapatkan ibu kandung atau waris bagi membincangkan penempatan baharu untuk Noor Aliesya Natasha.

Menurutnya, pihak mahkamah juga menerima permohonan daripada JKM untuk pengecualian Seksyen 15 (3) Akta Kanak-Kanak 2001 bermula 8 Mac lalu untuk siaran media selama sebulan.

"Kita berharap ibu kandung atau waris adik Noor Aliesya Natasha tampil untuk penilaian penempatan terbaik pada masa depan.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali ibu kandung atau waris kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Kemaman di talian 09-8591686," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 4:02 PM