Siti A'isyah Sukaimi

EMPAT penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung suapan diperoleh daripada pengusaha bas sekolah bernilai RM400 hingga RM600.

Perintah reman terhadap keempat-empat suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Nabila Abd Rashid di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini sehingga 8 Oktober selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Semua suspek yang berusia awal 30-an itu adalah pegawai penguatkuasa JPJ bertugas di Cawangan Bangi, Selangor.

Berikutan itu, SPRM melakukan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana memperoleh suapan.

Dalam pada itu, sumber berkata, suapan berkenaan supaya tidak mengambil tindakan terhadap pemandu bas sekolah terbabit yang didakwa tidak mempunyai permit sah.

Katanya, mereka ditahan pada jam 3 petang, semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Terdahulu, keempat-empat individu itu dibawa oleh pegawai SPRM di mahkamah jam 9.20 pagi dan mereka dilihat memakai baju lokap warna jingga dengan tangan bergari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 1:50 PM