Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Penyertaan syarikat berjenama besar dalam pelaksanaan menu rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekali gus 'membunuh' isu makanan itu kelas rendah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penyertaan itu adalah usaha murni mereka menyantuni golongan memerlukan sekali gus turut membeli kepelbagaian pilihan menu sarapan, makan tengah hari dan malam.

Menurutnya, kini rakyat mempunyai pilihan seperti nasi berlauk, masakan Thai seperti tomyam, nasi kandar, malah kini pilihan bubur serta burger yang diperkenalkan McDonald's Malaysia.

Katanya, dalam melaksanakan inisiatif untuk rakyat sudah pasti pihaknya memberikan yang terbaik.

"Dengan ada menu rahmah di McDonald's yang ada lebih kurang 340 cawangan seluruh negara ia secara langsung membunuh isu bahawa menu rahmah ini adalah makanan kelas rendah ataupun tak berkhasiat.

"Saya juga berterima kasih kepada pihak terbabit dan seluruh kakitangan yang sudi bersama dengan KPDN khususnya dalam menjayakan menu rahmah dan semua faham sasaran kita adalah mereka yang memerlukan," katanya selepas Majlis Pelancaran Menu Rahmah McDonald's Malaysia, di sini, hari ini

SALAHUDDIN dan Melati (dua dari kanan) melihat menu yang ditawarkan di McDonald’s. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SALAHUDDIN dan Melati (dua dari kanan) melihat menu yang ditawarkan di McDonald’s. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Turut hadir, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai.

Salahuddin berkata, pelaksanaan itu juga jelas menunjuk perkembangan yang baik apabila dalam kurang seminggu sudah ada dua hingga tiga lagi syarikat jenama besar menunjukkan komitmen dalam inisiatif berkenaan.

"Boleh kata hampir semua industri yang berkonsep makanan segera menyatakan pengesahan untuk menyertai menu rahmah.

"Saya berbangga kerana apabila kita memanggil pemain industri (mengadakan perbincangan) dalam hati mereka ada rasa ingin membantu. Syarikat jenama besar (menawarkan menu rahmah) itu yang mengharukan saya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini lebih 1,152 premis atau outlet makanan yang menjual menu rahmah di seluruh negara.

"Jumlah itu tidak termasuk 340 daripada cawangan McDonald's di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 2:05 PM