Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: "Kemenangan ini bukan hanya untuk suami bahkan untuk keluarga," kata Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurutnya, beliau bersyukur dengan keputusan yang ditetapkan Mahkamah Tinggi terhadap suaminya Datuk Seri Najib Razak atas pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

"Syukur Alhamdulillah, hari ini adalah satu kemenangan kepada bukan sahaja suami saya tapi juga kepada keluarga kami.

"Datuk (Datuk Seri Najib Razak) kata rasa bersyukur, ini adalah satu kemenangan untuk dia. Insyallah…. ," katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan itu juga memulihkan semangat keluarganya untuk terus berjuang.

"Keputusan ini yang kami nantikan bukan sahaja untuk Datuk (Datuk Seri Najib Razak) tapi untuk keluarga kami," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini, melepas dan membebaskan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan , yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduh.

ROSMAH tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
ROSMAH tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 12:02 PM