Arul Kanda
Arul Kanda
BERNAMA

Putrajaya: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy mengemukakan surat representasi agar pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadapnya berhubung kes meminda laporan audit 1MDB.

Peguam Arul Kanda, Jasmine Cheong mengesahkan kepada Bernama bahawa representasi itu dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC), semalam.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Sementara itu, peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Najib berkata, pihaknya belum memfailkan representasi kepada AGC untuk menarik balik rayuan berkenaan.

Pengurusan kes dijalankan hari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof yang menetapkan 28 Ogos depan bagi satu lagi pengurusan kes untuk AGC mengemas kini mahkamah mengenai status representasi Arul Kanda dan status rayuan pihak pendakwaan.

Dalam prosiding pengurusan kes itu, Cheong mewakili Arul Kanda, sementara Alaistair hadir bagi pihak Najib manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee bagi pihak pendakwaan.

Pada 3 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) membebaskan Najib dan Arul Kanda tanpa memanggil mereka membela diri.

Hakim itu memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua mereka.

Dalam alasan penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, beliau memberikan penilaian maksimum di akhir kes pendakwaan dan mendapati tiada bukti menunjukkan atau membuktikan bahawa Najib secara jelas mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskan dirinya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

Dalam kes Arul Kanda, Hakim mendapati Arul Kanda konsisten sepanjang keterangannya dan keterangannya juga serasi dengan keterangan lain dikemukakan.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu bagi melindungi bekas Perdana Menteri terbabit daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 3:17 PM