LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Keputusan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan parti yang akan berlangsung bulan depan adalah pilihannya sendiri.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bekas perdana menteri itu mungkin sudah membuat keputusan besar bagi dirinya kerana tidak bertanding.

"Saya kira mungkin beliau tidak mahu bertanding Naib Presiden kerana sudah sampai ke puncak dalam perjuangan karier politiknya sebagai Perdana Menteri.

"Tak ada lagi atas daripada itu dan beliau kini bersama beberapa lagi bekas Perdana Menteri.

"Terima kasih atas khidmat beliau selama ini selaku Naib Presiden dan Perdana Menteri ke-9," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail Sabri sebelum ini mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno disandangnya dalam pemilihan parti itu.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, terdapat cadangan supaya beliau bertanding jawatan itu, tetapi membuat keputusan enggan berbuat demikian.

"Saya tidak mahu memecahkan undi Johor. Johor sudah ada tiga calon Naib Presiden dan saya kira Johor paling kurang seorang kena menang.

"(Ini disebabkan) kadang-kadang mereka memilih mengikut negeri.

"Di utara sudah ada Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Di tengah sudah ada Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan di Johor sudah ada tiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 6:50 PM