GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Permohonan dan memperbaharui pasport secara terus (walk-in) oleh orang ramai masih dibenarkan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, kerajaan juga akan memastikan permohonan pasport secara terus itu dapat disiapkan dalam masa satu hari.

"Kita masih benarkan permohonan secara walk-in. Kita juga komited agar ia dapat disiapkan dalam satu hari," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Pekan-BN) yang ingin tahu sama ada Kementerian Dałam Negeri (KDN) mempunyai cadangan untuk mengembalikan semula permohonan pasport seperti sebelum ini iaitu secara terus ke pejabat imigresen.

Saifuddin bagaimanapun berkata, pihaknya mengesyorkan permohonan itu dibuat secara dalam talian bagi mengelakkan kesesakan di pejabat imigresen.

"Sepanjang tempoh pandemik Covid-19 dan sehinggalah hari ini, kita sudah mengeluarkan hampir 2.5 juta pasport.

"Daripada 2.5 juta pasport itu, 45 peratus adalah permohonan dalam talian. Cuma pasportnya itu akan mengambil masa beberapa hari berbanding walk-in hari itu juga siap. Itu sahaja bezanya," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (Tumpat-PN) mengenai kesesakan di pintu masuk utama negara seperti di lapangan terbang, Saifuddin berkata, pihaknya kini sedang merencanakan beberapa ikhtiar mengenai perkara itu.

"Tanpa berbasa-basi saya akui masalah itu benar-benar wujud dan ikhtiar itu sedang kami usahakan.

"Kami akan memaklumkan beberapa langkah misalnya petang ini saya akan mengumumkan pembukaan semula 'autogate' di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) untuk warganegara asing terutamanya dari negara yang berisiko rendah seperti Singapura, Brunei dan New Zealand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 11:55 AM