KHAIRUL Dzaimee. FOTO arkib NSTP
KHAIRUL Dzaimee. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Isu kesesakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di Singapura akibat kesukaran memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) akan diselesaikan dengan segera.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menempatkan lapan pegawai di STM bermula minggu hadapan bagi membantu melancarkan proses dokumentasi pasport di republik itu.

"Kini terdapat lima petugas di sana dan akan datang lapan pegawai kastam turut membantu. Tindakan sedang diambil," katanya ringkas selepas menyertai Ops Penguatkuasaan Imigresen di Jalan Imbi, awal pagi ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Beliau turut mengakui isu itu berlarutan sejak Oktober tahun lalu dan tindakan sedang dilaksanakan bagi mengatasinya.

Khairul Dzaimee berkata, kesesakan di STM sejak dua hari lalu berpunca daripada gangguan sistem serta kerosakan pada satu daripada dua mesin pencetak pasport selain pemohon yang datang secara terus (walk-in) tanpa membuat janji temu.

"Kita sudah nasihatkan mereka (rakyat Malaysia di Singapura) untuk membuat permohonan secara dalam talian tetapi mereka tetap datang. Kita beri keutamaan kepada yang perlu perbaharui pasport untuk permit kerja kerana mereka tidak boleh keluar (rentas negara).

"Bagi mereka yang ada masa itu, kita minta mereka mohon secara dalam talian dan permohonan akan diproses di pejabat Imigresen di Johor. Dalam masa empat atau lima minggu pasport akan dikeluarkan," katanya.

Semalam, Khairul Dzaimee dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Luar Singapura bagi membenarkan kakitangan syarikat Datasonic Berhad memasuki negara itu untuk melakukan kerja pembaikan seterusnya melancarkan proses memperbaharui pasport rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 1:36 PM