DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama.
DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama.
Amir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Sebanyak enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan segera selewatnya pada Jun membabitkan beberapa projek rancangan di Johor, Selangor dan Kelantan.

Ia membabitkan Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor; pembinaan kolam takungan dwifungsi di Sungai Rasau serta Sungai Klang (Selangor) dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa Tiga di Kelantan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perolehan rundingan terus yang dibuat dengan tergesa-gesa tanpa penelitian hanya membazirkan wang rakyat terutamanya berkait soal tebatan banjir.

"Bagi memastikan projek tebatan banjir benar-benar mencapai matlamatnya, projek cakna rakyat dan berimpak tinggi mesti dilaksanakan secara tender supaya menjamin nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada kerajaan.

"Sebagai contoh, negara dijangka mampu untuk jimat RM2 bilion daripada jumlah RM15 bilion peruntukan tebatan banjir yang disediakan sebelum itu.

"Bagi memperkemaskan tahap kesiapsiagaan bencana di negara ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diperuntukkan sebanyak RM150 juta antara lain untuk keperluan aset, sistem amaran dan bantuan bencana kepada rakyat terkesan," katanya.

Anwar berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba dan Jabatan Sukarelawan Negara (RELA) juga disediakan RM50 juta untuk peralatan serta aset untuk menghadapi bencana.

"Peranan komuniti turut diperkasa sebagai kumpulan awal ketika bencana dengan penyediaan RM20 juta di bawah geran Pertubuhan Prihatin Komuniti untuk manfaat 2,000 peratuan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 4:40 PM