ANWAR bertolak dari Kementerian Kewangan ke Parlimen pada 3 petang untuk pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI hari ini. FOTO Bernama
ANWAR bertolak dari Kementerian Kewangan ke Parlimen pada 3 petang untuk pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Selepas 26 tahun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kembali lagi ke Dewan Rakyat bagi membentangkan Belanjawan 2023 di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Kemunculan semula Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan belanjawan pertama Kerajaan Perpaduan selepas Kabinet dibentuk pada 2 Disember lalu pastinya dinanti-nantikan selepas kali terakhir beliau memegang portfolio itu pada tahun 1998.

Ditanya perasaannya selepas 26 tahun kembali membentangkan belanjawan, Anwar ketika ditemui pemberita di Kementerian Kewangan sebelum bertolak ke Parlimen hari ini secara ringkas berkata: "Sempurnakan tanggungjawab dengan baik".

Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna biru muda bersamping yang dihasilkan oleh Penjara Penor, Pahang dan bersongkok serta memakai capal dari Kepala Batas dilihat membawa beg fail warna hitam bermotif corak tenunan Sarawak yang berisi teks ucapan pembentangan Belanjawan 2023 sebelum meninggalkan Kementerian Kewangan pada 3.07 petang ke Parlimen.

Anwar diiringi Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Johan Mahmood Merican.

Terdahulu, sebelum memulakan perjalanan, Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Kewangan Ustaz Mohamad Zukrillah Ismail mengetuai bacaan doa bagi mendapatkan keberkatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 4:20 PM