ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta. FOTO ihsan bomba
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 57.2 Lebuhraya Senai Desaru di Bandar Penawar di sini, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.01 petang.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar dan BBP Pasir Gudang dengan kekuatan 14 anggota ke tempat kejadian.

Katanya, kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu Proton Pesona, Honda CRZ, Perodua Myvi, Perodua Bezza dan Honda Insight.

"Kemalangan membabitkan 13 mangsa dan terdapat seorang mangsa tersepit di dalam Proton Pesona iaitu wanita dewasa manakala mangsa yang lain keluar sendiri sebelum anggota bomba tiba di lokasi.

"Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dan kesemua yang mengalami kecederaan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Seorang mangsa maut di tempat kejadian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya menerusi siaran media hari ini.

Jurucakap itu berkata, mangsa yang maut ialah kanak-kanak lelaki yang menaiki Proton Persona manakala dua lagi yang menaiki kereta sama iaitu seorang lelaki dan wanita berusia 30-an mengalami kecederaan.

Menurutnya, tujuh dari 10 individu menaiki kenderaan lain turut mengalami kecederaan.

"Operasi ditamatkan pada jam 5.42 petang hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 11:20 PM