GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ruwaida Md Zain

SELANGOR mencatatkan tujuh kematian akibat denggi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sepanjang tempoh PKP bermula 22 Mac sehingga 12 April, kadar kes denggi mencatatkan sebanyak 1,910 kes.

“Berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 3,321 kes iaitu penurunan sebanyak 42 peratus.

“Secara keseluruhan, dari awal Januari sehingga 12 April lalu terdapat 22,180 kes denggi dengan 23 kes kematian berbanding 23,323 kes denggi dengan 19 kes kematian untuk tempoh sama tahun lalu.

“Ia menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 4.9 peratus tetapi kes kematian menunjukkan peningkatan sebanyak 21.05 peratus, ” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.

Dr Siti Mariah berkata, lokaliti wabak yang mencatatkan kes tertinggi sejak Januari sehingga 12 April itu adalah di Petaling iaitu sebanyak 7,372 kes diikuti Klang (4,582) dan Hulu Langat 3,709 kes.

Menurutnya, lokaliti wabak yang mencatatkan kes terendah pula adalah di Sabak Bernam dengan 69 kes.

Katanya, tahun ini kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan memperuntukkan RM5 juta untuk program pencegahan denggi seluruh Selangor berbanding RM3 juta tahun lalu.

“Berikutan PKP dilanjutkan sehingga 28 April ini serta keperluan sumber yang mendesak di bahagian kesihatan negeri dan Pusat ketika wabak Covid-19, aktiviti kawalan denggi dihadkan kepada aktiviti pejarakan sosial bersama masyarakat.

“Pembiakan nyamuk tetap akan berlaku di persekitaran kawasan perumahan dan di dalam bangunan kediaman.

“Kesedaran awam mengenai bahaya denggi masih di peringkat yang membimbangkan dan saya menyeru kepada seluruh rakyat Selangor terutama kepada yang berada di lokaliti ‘panas’ wabak denggi ini supaya mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya agar kita dapat sama-sama memastikan wabak ini tidak akan menular dengan lebih parah,” katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu melakukan pembersihan di premis sendiri (pembersihan dalam dan sekitar kediaman) dengan menghapuskan sebarang bekas air bertakung yang boleh menjadi tempat nyamuk membiak.

“Selain itu, guna semburan aerosol bagi membunuh nyamuk aedes di dalam kawasan rumah dan memakai krim perlindungan nyamuk bagi mengelakkan gigitan nyamuk terutama kepada anak kecil.

“Kita perlu meletakkan ubat jentik-jentik ke dalam bekas takungan air di sekitar rumah seperti di dalam pasu bunga, bekas tadahan air dan pam tandas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 10:49 AM